'Piala Dunia dwitahunan beri impak positif'

Hamidin
Hamidin
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menyifatkan cadangan FIFA untuk menganjurkan Piala Dunia secara dwitahunan akan memberikan impak positif kepada industri bola sepak global.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, ia juga akan meluaskan lagi peluang untuk negara anggota layak ke saingan berprestij dunia itu.

“Cadangan Piala Dunia secara dwitahunan berbanding empat tahun sekali sebagai antara usaha badan induk dunia itu mentransformasikan masa depan bola sepak menerusi perencanaan jadual pertandingan bersifat global.

“Cadangan FIFA ini juga memberi kebaikan buat negara anggota dalam membuka peluang menjadi tuan rumah Piala Dunia selain dapat mengurangkan masa perjalanan pemain sekali gus mampu memastikan tempoh rehat mencukupi bagi pemain antara musim,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sidang Kemuncak ‘Future of Football’ secara maya bersama Presiden FIFA, Gianni Infantino dan wakil dari lebih 211 negara anggota FIFA yang lain.

Pada dasarnya FIFA mengajak semua negara anggotanya membincangkan cadangan Piala Dunia secara dwitahunan serta reformasi terhadap Kalendar Perlawanan Antarabangsa atau International Match Calendar (IMC) selepas 2024 yang bakal memudahkan pemain senior atau remaja lelaki dan wanita dilepaskan oleh kelab masing-masing untuk menyertai aksi antarabangsa.

Sidang kemuncak itu diadakan sebagai sebahagian daripada proses FIFA mendapatkan maklum balas daripada semua pemegang taruh dalam usaha membawa dimensi baharu ke dalam penjadualan bola sepak antarabangsa serta mewujudkan keseragaman untuk bola sepak lelaki dan wanita serta remaja.

Dalam sidang itu, Ketua Pembangunan Bola Sepak Global FIFA, Arsène Wenger dan Penasihat Khas Pembangunan Bola Sepak Wanita, Jill Ellis, membentangkan cadangan dan analisis kajian masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Dua cadangan pertandingan belia FIFA dibentangkan, dengan pendekatan standard untuk kejohanan lelaki dan perempuan merangkumi pertandingan B-17, B-16 dan B-18 diadakan secara tahunan.

Pelan jangka panjang FIFA termasuk menampilkan 50 pasukan negara dan 50 kelab terbaik untuk bersaing di peringkat tertinggi bola sepak lelaki dan wanita, sejajar dengan perancangan Infantino dalam Visi FIFA 2020-2023.

Sidang kemuncak tersebut yang berlangsung selama empat jam turut menyediakan konsep pertandingan bola sepak wanita global dan cadangan perlaksanaan pertandingan belia yang menerima sokongan FAM.

“Sidang kemuncak ini memberi kami pemahaman yang lebih baik, telus dan tepat mengenai pendekatan FIFA - Future of Football terutama dalam pelaksanaan Piala Dunia lelaki dan wanita secara dwitahunan dalam misi meningkatkan kualiti bola sepak di seluruh dunia.

“Future of Football memiliki peranan penting dalam pembangunan dan pertumbuhan bola sepak yang mapan di segenap pelosok dunia,” kata Hamidin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!