LKIM bantu nelayan jual ikan secara dalam talian
BUKIT GANTANG - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sedang membangunkan platform digital khusus bagi membantu nelayan melakukan jualan ikan terus kepada pengguna secara dalam talian.
Pengerusi LKIM, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, inisiatif itu digerakkan bersama 87 Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) seluruh negara dan diyakini dapat mengurangkan peranan orang tengah sekali gus membantu meningkatkan pendapatan nelayan.
"Jualan ikan online (secara dalam talian) ini sudah pun dimulakan Nekmat (Persatuan Nelayan Kebangsaan) dan kita di LKIM cuba untuk jadikan ia lebih berpusat dengan mewujudkan satu platform yang lebih khusus.
"Melalui platform ini nanti, mana-mana PNK boleh mengumpulkan hasil tangkapan ikan segar mereka untuk memudahkan pesanan dibuat pengguna sebelum penghantaran dilakukan," katanya sempena program penyerahan input tanaman untuk program tanaman kontan di PNK Sungai Tinggi di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, platform digital melibatkan pasaran dan pengedaran itu akan disiapkan tahun ini juga agar pelaksanaan jualan secara agresif dapat dilakukan sepenuhnya awal tahun depan.
Menurutnya, ketika ini pasaran ikan segar termasuk sejuk beku mendapat permintaan tinggi daripada pengguna terutama mereka yang tinggal di kawasan bandar.
"LKIM sedang lihat apa yang boleh dimanfaatkan sebagai industri dan salah satunya adalah pasaran ikan nelayan terus kepada pengguna.
"Jualan online ini antara kaedah perniagaan baharu yang diberi tumpuan oleh LKIM, kita ada networking yang baik, hanya perlu penyelarasan sahaja," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Bukit Gantang itu berkata, program tanaman kontan yang dimulakan LKIM sejak tahun lalu telah memberi manfaat kepada 2,500 nelayan membabitkan peruntukan hampir RM4.6 juta.
Katanya, pelaksanaan program secara berkelompok itu termasuklah insentif dalam bentuk input pertanian seperti baja dan racun, tenaga kerja, latihan, khidmat nasihat teknikal dan elemen pemasaran hasil pertanian.
"Peruntukan program ini kita berikan sebagai galakan kepada nelayan melakukan aktiviti sampingan untuk menambah pendapatan.
"Sekiranya ia dilakukan secara profesional, mereka mampu menambah pendapatan antara RM1,000 ke RM2,000 sebulan bergantung kepada jenis tanaman kontan yang diusahakan," katanya.
Nelayan, Zamali Mat Said, 42, mampu meraih sehingga RM3,000 sebulan melalui jualan pisang nangka yang diusahakan di atas tanah seluas lebih 0.8 hektar sejak setahun lalu.
"Ada masanya kita tak dapat turun ke laut, jadi adanya program tanaman ini, dapatlah juga kita lakukan aktiviti yang menambah pendapatan," katanya yang menerima bantuan antaranya paip air, mesin potong kayu, tong racun dan baja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!