Lantik Azalina Penasihat Khas PM tindakan tepat
JOHOR BAHRU - Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menyifatkan pelantikan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia) sebagai satu tindakan tepat.
Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru itu berpendapat, Azalina dilihat mampu memisahkan peranan Peguam Negara (sebagai anggota Jemaah Menteri dan penasihat undang-undang kerajaan) dengan peranan Pendakwa Raya.
"Ketegasan Azalina mempertahan kemuliaan Dewan Rakyat apabila digantung semasa darurat membuktikan dirinya seorang yang berprinsip tegas.
"Azalina juga meletakkan jawatan Timbalan Speaker kerana tidak mahu berhadapan dengan percanggahan kepentingan dalam kedudukannya sebagai seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Azalina sebelum ini menerusi satu hantaran Facebook miliknya mengesahkan telah dilantik sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia).
"Terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas kepercayaan yang diberikan. Insya-ALLAH dengan kudrat yang ada saya akan lakukan yang terbaik demi negara,” kata Azalina.
ARTIKEL BERKAITAN: Azalina dilantik Penasihat Khas PM
Beliau menerima surat pelantikan itu daripada Ismail Sabri pada Khamis lalu.
Mengulas lanjut, Shahrir berkata, ramai ahli Parlimen termasuk menteri-menteri ketika berucap dalam Dewan Rakyat akan mengguna perkataan 'Dewan yang mulia' tetapi sebenarnya tidak berpegang pun dengan kata-kata itu.
"Mereka berdiam diri apabila Parlimen digantung atau 'dimandulkan' oleh Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin," ujarnya.
Dakwa beliau, mereka lebih sayang kepada manfaat yang diperoleh dengan jawatan dan kedudukan sehingga Parlimen tidak dianggap sebagai institusi penting dalam sistem demokrasi berparlimen.
"Perdana Menteri mengambil langkah berani dengan melantik Azalina sebagai Penasihat Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia kerana beliau seorang mengambil serius apa sahaja peranan yang diberi kepadanya.
"Bagi saya, Azalina layak dilantik sebagai Peguam Negara supaya negara boleh berubah kepada pemisahan peranan Peguam Negara (sebagai anggota Jemaah Menteri dan penasihat undang-undang Kerajaan) dengan peranan Pendakwa Raya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!