SOP Pulau Pangkor siap minggu depan: Exco Perak

kerajaan negeri optimis dengan sasaran asal untuk Pulau Pangkor dibuka pada 1 November ini
kerajaan negeri optimis dengan sasaran asal untuk Pulau Pangkor dibuka pada 1 November ini
A
A
A

IPOH - Penyediaan prosedur operasi standard (SOP) untuk gelembung pelancongan ke Pulau Pangkor kini berada pada fasa akhir.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, senarai persiapan yang dijangka siap minggu depan itu merupakan usaha kerajaan negeri untuk membuka semula pulau peranginan berkenaan.

"Kita telah melaksanakan mesyuarat sekretariat penyelarasan untuk SOP Pulau Pangkor dan ia masih dalam peringkat penyediaan.

"Minggu depan kita akan serah kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk diteliti sama ada kita layak untuk syarat-syarat yang telah ditetapkan.

"Sebarang keputusan tertakluk kepada kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan MOTAC," katanya kepada pemberita pada program Kempen Derma Darah anjuran Persatuan Pelancongan Perak (PTA) di Hospital Pakar Komuniti Perak di sini pada Sabtu.

Nolee Ashilin berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan operator-operator swasta untuk bersedia mengikuti syarat asas pematuhan SOP sekiranya gelembung pelancongan itu diluluskan.

"Kita ada senarai SOP dari segi pintu masuk, pemeriksaan kesihatan dan kadar vaksinasi penduduk 80 peratus yang telah kita capai. Begitu juga dengan operator yang pekerjanya perlu lengkap vaksinasi.

"Pelbagai agensi akan memain peranan seperti pemantauan kehadiran pelancong oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), jeti dikawal selia oleh Jabatan Laut, tempahan tiket dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga melihat pada keperluan penambahan fasiliti seperti tempat menunggu kerana kita jangka ramai yang datang. Itu perkara asas untuk elak kesesakan orang ramai," katanya.

Menurutnya, sebaik mendapat 'lampu hijau' kerajaan Perak sudah bersiap sedia untuk buka pulau bebas cukai itu kepada pelancong termasuk dalam negeri.

Bagaimanapun katanya, sekiranya masih belum menepati kriteria ditetapkan, penyelarasan yang dijalankan itu adalah sebagai persediaan awal untuk kelonggaran rentas negeri yang akan diumumkan tidak lama lagi.

"Dari segi penyelarasan, saya rasa tiada masalah. Kita sudah tetapkan agensi mana yang akan mengambil bahagian dan mereka telah berikan komitmen untuk melakukan perkara itu.

"Bagaimanapun, jika sebaliknya, SOP itu juga penting untuk kita mempersiapkan diri setelah perjalanan rentas negeri dibenarkan. Kita tidak rugi buat persediaan ini khususnya gelembung antarabangsa sekiranya dibenarkan pada masa akan datang," katanya.

Katanya, kerajaan negeri optimis dengan sasaran asal untuk Pulau Pangkor dibuka pada 1 November ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!