'Menang 1-0 sama macam menang 10-0'
PENGENDALI Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora tetap berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan para pemainnya walaupun hanya mampu menang tipis 1-0 ke atas PJ City FC dalam aksi Kumpulan D saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim pada Khamis.
Menurut Mora, kemenangan dengan jumlah jaringan yang kecil sudah memadai malah lebih penting adalah tiga mata berharga diperolehi oleh skuad Harimau Selatan tersebut.
“Saya sangat berpuas hati. Ia bukan mengenai berapa banyak gol, tetapi sejauh mana pemain dapat memberikan persembahan terbaik mereka dan mengikut taktikal dan disiplin yang telah kami praktikkan di JDT.
“Menang 1-0 adalah sama seperti menang 10-0. Ia hanya perbezaan gol. Kadang-kadang kami kami berjaya menjaringkan banyak gol kadang-kadang tidak. Tapi, saya tetap berpuas hati dengan persembahan pemain,” katanya dalam sidang media selepas tamat perlawanan.
Jentera serangan JDT dilihat kurang menyengat dalam dua perlawanan terakhir kumpulan selepas hanya sekadar menang 2-0 ke atas kelab Liga Premier, Kelantan FC dan terbaharu hanya mampu meledak satu gol ketika menentang PJ City FC.
Dalam masa sama, Mora turut memuji tentangan sengit yang diberikan oleh PJ City FC yang menyaksikan mereka bekerja keras untuk mencuri mata daripada pasukan Harimau Selatan itu.
“Pemain PJ City memberikan tentang sengit, jika pengadil memberikan tambahan 15 minit mereka (pemain PJ City) boleh berlari dengan intensiti yang sama untuk tempoh tersebut. Ia tidak mudah buat kami dan kami tahu mereka datang ke sini untuk mencari tiga mata,” katanya.
Sementara itu, pengendali PJ City FC, P Maniam menyifatkan pasukannya tidak bernasib baik dalam perlawanan tersebut walaupun para pemainnya telah memberikan yang terbaik termasuk mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol.
“Pada separuh masa pertama, kami beri peluang kepada JDT untuk menjaringkan gol. Selepas itu, boleh nampak kami cuba comeback, namun JDT masih mengawal permainan.
“Kami memberikan tekanan dan saya rasa kami lakukan dengan baik pada separuh masa pertama. Selepas itu pada separuh masa kedua, saya buat beberapa pertukaran untuk mengubah formasi dan cuba cipta peluang jaringkan gol.
“Secara keseluruhan saya gembira dengan persembahan pemain kerana mereka komited, bermain sepenuh hati dan nampak perkembangan yang positif,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!