Belanjawan Johor 2022 dibentang 25 November

Hasni (dua dari kanan) bertanya khabar Haikal yang menerima suntikan vaksin di PPV Benut pada Sabtu.
Hasni (dua dari kanan) bertanya khabar Haikal yang menerima suntikan vaksin di PPV Benut pada Sabtu.
A
A
A

PONTIAN - Kerajaan Johor dijangka membentangkan Belanjawan Johor 2022 pada 25 November depan dengan pendekatan bersifat mengembang demi memulihkan keadaan ekonomi susulan pandemik Covid-19.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, keadaan ekonomi yang masih belum pulih sepenuhnya akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memerlukan pakej-pakej rangsangan ekonomi di peringkat negeri diperkenalkan.

"PKP yang dilaksanakan telah menyekat banyak perniagaan daripada beroperasi seperti biasa. Kegiatan ekonomi di negeri ini juga masih belum dapat dibuka sepenuhnya disebabkan pelbagai faktor.

"Ini termasuklah disebabkan sempadan antara Johor dengan Singapura yang masih lagi ditutup di mana pembukaan sempadan terbabit masih dalam rundingan kedua-dua negara," katanya ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Benut di sini pada Sabtu.

Dianggarkan seramai 1,552 pelajar dari enam buah sekolah menengah di kawasan Benut menerima vaksin menerusi Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 (PICK) Remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

Hadir sama, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pegawai Kesihatan Daerah Pontian, Dr Surinah Asan.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, di bawah pendekatan bajet mengembang itu nanti, rakyat akan terus dibantu dengan pelbagai inisiatif yang diperkenalkan bagi meringankan beban mereka.

"Kerajaan negeri akan terus membantu rakyat dan menambah baik pakej rangsangan ekonomi dengan penglibatan semua agensi termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak berkuasa tempatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang ibu yang menemani anaknya menerima suntikan vaksin di PPV Benut, Rahayu Moh Sam, 40, berkata, dia bersyukur anaknya, Mohd Haikal Jalani, 14, yang mengalami kecacatan fizikal telah menerima suntikan vaksin.

Menurutnya, anaknya yang berkerusi roda sangat teruja untuk mendapatkan suntikan vaksin.

"Haikal bangun seawal jam 6.30 pagi kerana tidak sabar untuk ke PPV Benut.

"Di PPV Benut ramai yang membantu Haikal," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!