SelVAX dibuka untuk golongan remaja
GOMBAK - Program Vaksinasi Selangor (SelVAX) kini ditawarkan untuk remaja berumur 12 hingga 17 tahun sebagai langkah mempercepatkan golongan tersebut mendapatkan perlindungan daripada virus Covid-19.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan tersebut dibuat berdasarkan kenyataan dikeluarkan oleh kerajaan Persekutuan supaya vaksin jenis Sinovac diberikan kepada golongan remaja.
Menurutnya, inisiatif tersebut akan dibincangkan secepat mungkin dan dibentangkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, beliau masih belum memastikan jumlah dos vaksin yang akan diberikan kepada golongan tersebut memandangkan baki dos sedia ada sepatutnya digunakan untuk suntikan penggalak atau 'booster'.
"Saya akan dapatkan angka yang tepat dalam masa terdekat untuk merangka semula pelaksanaan vaksinasi ini kerana pelan peringkat awal adalah untuk dos penggalak atau dos ketiga.
"Kami akan membincangkan cadangan ini secepat mungkin dan bentangkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui exco negeri atau saya sendiri.
"Semoga pelan itu akan mempercepatkan golongan remaja kita turut dilindungi dengan vaksin," katanya ketika ditemui di Majlis Penyerahan Sumbangan Kewangan Dan Notis 5A di Dewan Rakyat Batu Caves, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, program SelVAX Bergerak akan diteruskan ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lain dengan memberi fokus kepada kawasan terpencil dan sukar dicapai.
Katanya, perancangan semula untuk program tersebut perlu dilakukan kerana ia melibatkan kos-kos pentadbiran seperti doktor, jururawat dan sebagainya.
"SelVAX Bergerak telah tamat pusingan pertama dan akan lengkapkan DUN yang lain.
"Akan cuba rangkum sebanyak mungkin DUN yang ada, namun mungkin ada DUN yang tidak memerlukan suntikan tersebut kerana hospital masih meneruskan program vaksinasi.
"Jadi ingin tumpukan di kawasan terpencil," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!