Sabah pandang serius isu pencerobohan China
KOTA KINABALU - Kerajaan negeri Sabah memandang serius tindakan keterlaluan China yang disifatkan sebagai ancaman terhadap kerajaan Malaysia dan negeri ini secara menyeluruh.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pihaknya menyerahkan perkara itu kepada kerajaan Pusat untuk segera diatasi kerana ia melibatkan keselamatan rakyat Sabah dan bakal menjejaskan banyak industri seperti ekonomi dan pelancongan di negeri ini.
"Saya memandang berat perkara ini kerana isu ini telah berlarutan sejak sekian lama sehingga banyak berlakunya pencerobohan di sempadan perairan negara yang melibatkan pulau-pulau kecil di kawasan berhampiran.
"Saya yakin dan percaya kerajaan Pusat akan dapat segera menyelesaikan perkara ini kerana tindakan China ini bakal memberikan implikasi buruk kepada keselamatan dan ekonomi kerajaan negeri serta menimbulkan kebimbangan rakyat dan pelabur seperti perniagaan laut dalam, pelancongan dan sebagainya.
"Pada sama, saya berharap agar pihak keselamatan seperti maritim dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta semua yang terlibat untuk bersama-sama mempertingkatkan keselamatan di perairan dan sempadan negara,” katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah berkata, pihaknya berharap agar kerajaan Pusat mendesak agar satu rundingan segera diadakan dengan semua pihak yang terlibat.
"Saya serah pada Menteri Luar untuk melihat dan mencari jalan penyelesaian terbaik dalam menangani perkara ini. Perlu segera diselesaikan sebab kalau semua negara mahu tuntut boleh menyebabkan berlakunya kekacauan.
"Bagi pihak kerajaan negeri, kami mengharapkan agar perundingan di peringkat antarabangsa dapat segera diadakan bagi mencari jalan penyelesaian kerana perbalahan yang berterusan telah mencetuskan kebimbangan di kalangan masyarakat," katanya.
Timbalan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob sebelum ini dilaporkan berkata, insiden pencerobohan perairan negara melibatkan kapal dari China telah berlaku sejak 2013 dan terdapat peningkatan aktiviti tersebut sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!