Keberhasilan Kebahagiaan jadi instrumen pantau suara rakyat: PM
KUALA LUMPUR - ‘Keberhasilan Kebahagiaan’ atau Key Happiness Outcome (KHO) akan diperkenalkan sebagai instrumen untuk mengenal pasti dan memantau kepuasan serta suara rakyat melalui konsep Keluarga Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia akan menjadi panduan kepada kerajaan dalam meningkatkan prestasi, pelaksanaan dasar dan sistem penyampaian yang lebih baik kepada Keluarga Malaysia
Beliau berkata, frasa Keluarga Malaysia yang diperkenalkan pentadbiran beliau adalah konsep yang bersifat inklusif dengan matlamatnya semua rakyat melindungi ‘ahli keluarga’ mereka.
“Aspirasi Keluarga Malaysia - berganding bahu untuk memulihkan negara selain menjadi Keluarga Malaysia yang kalis cabaran pada masa hadapan,” katanya pada sesi wawancara khas bersama editor kanan media di sini baru-baru ini.
Ismail Sabri berkata, Keluarga Malaysia diharapkan menjadi satu budaya sesebuah keluarga untuk dibawa ke seluruh negara.
“Sebab keluarga, kita saling melindungi. You brother (sebagai saudara), you akan tolong orang yang susah kalau ada kalangan adik beradik miskin, you akan bantu dia. You takkan biar dia bersendirian... jadi caring society (masyarakat penyayang). Yang tu akan berlaku dengan sifat Keluarga Malaysia,” katanya.
Perdana Menteri berkata, Keluarga Malaysia merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum, merangkumi kesemua lapisan usia, sama ada anak muda mahupun yang telah berusia.
Mengambil contoh situasi perkahwinan melibatkan kaum berbeza di Sabah dan Sarawak, beliau berkata, mereka boleh hidup bersama kerana sifat kekeluargaan dan budaya yang ada.
“Ini yang saya katakan sebagai Keluarga Malaysia ini. Sebab agama, kaum tidak akan memisahkan kalau ada sifat keluarga dalam diri kita. Kita akan menjaga keluarga kita, kita akan pertahankan keluarga kita, sebab itu konsep Keluarga Malaysia,” katanya.
Konsep Keluarga Malaysia, kata beliau, menitikberatkan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga, mencakupi keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran, berlandaskan Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Ditanya mengenai penerimaan rakyat Malaysia terhadap Keluarga Malaysia, Ismail Sabri berkata, setakat ini penerimaan adalah baik tetapi ia masih di peringkat awal.
“Setakat ini penerima, saya rasa amat baik tapi cuma dari segi promosi tu kita belum lagi bermula secara agresif. Cuma tengok media elektronik dah mula, mungkin akan lebih agresif lagi,” katanya.
Beliau berkata, apabila Keluarga Malaysia adalah sesuatu yang merentasi kaum dan agama, ia bermakna perpaduan mesti menjadi fokusnya.
“Dalam ucapan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), saya ada sebut tentang perpaduan dan fokus ucapan tersebut merangkumi semua... Melayu, tentang macam-macam kaum bumiputera. Saya juga sebut tentang etnik di Sabah dan Sarawak.
“Kita juga beri fokus kepada Kampung Baru Cina untuk meningkatkan dari segi infra dan skim pinjaman khas sebab saya tahu bukan semua orang Cina kaya... ada yang miskin, di kampung-kampung Cina miskin. Untuk India ada pelan tindakan masyarakat India. Itulah sebabnya tema kita Keluarga Malaysia meliputi semua.
“Bila sebut kemiskinan ia merangkumi, merentasi kaum. Bila miskin apa yang dirasa sama saja tak kira kaum. Kalau makan tiga kali sehari, tiba-tiba makan dua kali sehari. Perasaan itu Melayu pun sama, Cina India pun sama,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!