Speedy Tigers raih kemenangan pertama
THE Speedy Tigers menutup aksi keempat yang juga perlawanan terakhir menentang pasukan berstatus kelab pada Siri Jelajah United Kingdom 2021 dengan kemenangan 3-1 ke atas Beeston HC di Pusat Hoki Nottingham.
Pengendali skuad negara, A Arulselvaraj memuji sikap dalam kalangan pemainnya yang berjuang dengan semangat tinggi untuk memburu kemenangan pertama walaupun terpaksa mengharungi perjalanan jauh untuk sampai ke venue perlawanan.
“Kemenangan pertama 3-1 merupakan daripada jaringan pukulan sudut penalti menerusi Razie Rahim, yang kami memperolehi empat pukulan sudut penalti dan beliau menjaringkan tiga daripadanya sementara lawan memperolehi lima pukulan sudut penalti.
“Daripada segi perlawanan hari ini, pemain mengawal permainan dengan baik, lebih teratur dan bermain dalam tempoh perlawanan yang agak tinggi. Kemenangan hari ini juga akan menaikkan lagi semangat para pemain kerana ini merupakan aksi terakhir bertemu kelab di sini.
“Esok (2 Oktober) kami bertolak ke Ireland untuk bertemu dengan pasukan kebangsaan Ireland bagi perlawanan ujian, jadi kemenangan ini adalah satu pembakar semangat untuk mereka,” katanya.
Muhammad Razie Abd Rahim muncul penjaring hatrik pada perlawanan tersebut selepas menyempurnakan tiga pukulan sudut penalti pada minit ke-12, 35 dan 42, sementara jaringan tunggal Beeston HC juga menerusi pukulan sudut penalti yang terhasil pada minit ke-18.
Berbaki enam perlawanan seterusnya, Speedy Tigers akan dicabar skuad kebangsaan Ireland, Wales dan Perancis, di mana empat daripada baki enam perlawanan tersebut merupakan perlawanan ujian.
Sementara itu, pemain tengah pasukan kebangsaan, Meor Muhammad Azuan Hassan menyifatkan kemenangan tersebut merupakan penyuntik semangat menjelang perlawanan ujian.
“Alhamdulillah, syukur ini kemenangan pertama kami menentang kelab England dan kami akan menjadikan kemenangan hari ini sebagai persediaan menentang Ireland serta Wales.
“Perlawanan sebelum ini kami berjaya menjaringkan gol menerusi gerakan padang ketika bertemu Hampstead & Westminster HC dan ia sesuatu yang cukup baik untuk pasukan dapat menjaringkan gol padang.
“Hari ini pula kami menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti dan tiga gol tersebut cukup baik untuk kami kerana keseimbangan dalam menjaringkan gol dapat dilihat dan kami akan melakukan persediaan lebih lagi untuk bertemu Ireland dan Wales,” katanya.
Perlawanan kelima skuad negara dalam Siri Jelajah United Kingdom akan bersambung pada Rabu yang merupakan perlawanan ujian pertama dalam siri jelajah ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!