Inilah dia skrip kehidupan

A
A
A

APABILA kita menonton drama kisah cinta, lazimnya kita dapat mengagak apa yang bakal berlaku seterusnya. Drama belum habis ditonton, tetapi kita sudah tahu apakah kesudahannya. Hebat, kan?

Kisah cinta dalam drama boleh dikatakan mudah jalan ceritanya. Si lelaki bertemu dengan si perempuan. Mereka suka sama suka, langsung berkawan dan akhirnya bercinta. Percintaan mereka lazimnya akan ada halangan. Orang ketiga, ibu bapa pasangan ataupun masalah salah seorang pasangan itu sendiri menjadi batu penghalang. Sudah dinamakan kisah cinta... akhirnya segala halangan dapat diatasi dengan baik. Kesudahannya, mereka ke jenjang pelamin.

Begitulah drama kisah cinta. Balik, balik, yang itu, itu juga. Orang kata dah klise. Namun, apakah kita sedar, cinta kita juga kebanyakannya adalah seperti skrip drama? Kita bertemu, suka, bercinta, bermasalah dan akhirnya dapat juga berumah tangga. Bila kita tanya pada kawan-kawan kita, kisah mereka lebih kurang begitu jugalah.

Memanglah ada juga yang berbeza alam percintaan seperti pengalaman cinta pandang pertama, cinta pandang ke sepuluh (dah bertahun berkawan baru terbit rasa cinta), dikahwin paksa (sama ada dipaksa kahwin oleh ibu bapa atau kahwin paksa ~ kita yang paksa ibu bapa kahwinkan dengan si dia kerana tak hendak orang lain).

Tetapi, kebanyakan daripada kita sudah masak sangat dengan cerita cinta kerana telah mengalami sendiri atau mendapat ilmu daripada tontonan di kaca TV ataupun melalui novel cinta. Namun, di sebalik pengetahuan yang begitu banyak, masih ada dalam kalangan mereka yang bercinta hilang pertimbangan. Angaunya berlebih-lebih dan bila kecewa, boleh frust menonggeng.

Sedangkan orang yang bercinta pada hari ini punyai begitu banyak rujukan. Seseorang itu boleh merujuk kepada mereka yang sudah bercinta tetapi tak sampai ke jenjang pelamin. Ataupun mereka yang pernah bercinta berpuluh kali, yang kahwin tak jadi, cinta tiga segi, cinta empat segi, berpisah mati hidup balik dan entah apa lagi.

Orang yang tiada pengalaman boleh sahaja mendapat nasihat daripada yang telah melaluinya. Ia boleh dijadikan sempadan mahupun teladan. Yang penting, apa jua masalah yang dihadapi akan ada jalan penyelesaian ~ jalan yang pernah dilalui oleh mereka sebelum itu. Tidak keterlaluan jika diandaikan hal-hal cintan-cintun ini begitu simple, bukannya bersimpul.

Skrip alam percintaan adalah salah satu daripada beratus-ratus skrip kehidupan. Jika kita ambil apa jua skrip kehidupan, ia punyai pola kerana ia lebih kurang serupa sahaja. Yang penting, kita perlu pandai memilih formula yang terbaik untuk mengatasinya.

Artikel Berkaitan:

Anak yang lemah dalam mata pelajaran Matematik misalnya harus diberikan jalan untuk menguasai ilmu itu. Dengar apa yang cikgu ajar, jangan tinggal kerja rumah, buat latih tubi, hafal sifir, hafal formula, habiskan semua soalan di buku latihan, jangan takut nombor, fokus, fokus, fokus, solat, solat, solat dan doa, doa, doa. Itulah skrip jika kita mahukan anak kita pandai matematik.

Begitu juga jika kita ingin menjadi seorang sejarawan, ahli fizik, arkitek, jurujual, jururawat, jurutera, saintis, juruterbang, juruacara, ustaz dan hafiz. Kesemua profesion itu telah punyai formula kejayaan yang telah digunakan. Justeru itu, secara logiknya seseorang itu tidak boleh gagal kerana sebelumnya sudah berjuta manusia lain telah berjaya menguasainya.

Dalam hidup ini, kita diwajibkan menuntut ilmu. Samada ilmu-ilmu akademik mahupun ilmu kehidupan, kita boleh cari formula atau kuncinya. Sumbernya ada di merata-rata tempat terutamanya di internet. Rajin-rajinlah mencarinya dan kita akan temui segala jawapannya.

Situasi itu dijadikan berpasang-pasang. Naik dan turun, tinggi dan rendah, kecil dan besar, nipis dan tebal, lurus dan bengkok serta segalanya. Setiap situasi punyai ciri-ciri yang baik dan buruk; yang menggembira atau menyedihkan.

Untuk situasi naik dan turun, kedua-duanya ada baik dan buruknya. Perniagaan yang naik itu menggembirakan kerana ia menggambarkan keuntungan. Sedangkan naik itu juga menyukarkan kerana naik itu juga mahal dalam dunia ekonomi. Begitu juga turun itu baik kerana ia membawa maksud murah. Tetapi turun juga membawa erti sedikit.

Maknanya, dalam apa jua situasi, kita boleh lihat ada susah dalam senang, ada senang dalam susah. Kedua-duanya seimbang. Yang berbeza ialah bagaimana kita melihat sesuatu situasi. Jika ia kelihatan negatif, kita kenalah berfikir bagaimana untuk menjadikan ia positif. Jika ia positif, bagaimana kita kebndalikan agar yang negatif tidak datang menimpa kerana kealpaan.

Namun, walau apa jua nilai, sudut pandang dan tindakan yang kita lakukan, kita kenalah ada kompas. Kompasnya ialah agama. Tanpa kompas agama, semuanya akan lingkup. Bila yang naik itu menguntungkan, ia memberi keseronokan yang dikuti dengan rasa tamak haloba. Apabila yang turun itu merugikan, ia akan menyedihkan. Tetapi janganlah sampai menyalahkan takdir tatkala terpaksa mengharung kesedihan itu.

Kerana itu, apabila kita menangani skrip kehidupan, yang mana kita menghadapi dengan menggunakan skrip yang pernah diguna oleh orang lain, kita tidak perlu takut, apatah lagi menyerah kalah.

Yang penting kita kena konsisten, seolah-olah sentiasa melangkah naik di eskalator yang sedang menurun!

* Penulis ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!