Selangor tubuh Skuad Bencana sedia hadapi musibah
GOMBAK - [DIKEMASKINI] Kerajaan Selangor menubuhkan Skuad Bencana sebagai persediaan untuk mendepani situasi-situasi yang tidak diduga sejajar dengan perubahan iklim pada masa kini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, seramai tujuh orang ahli mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan akan dilatih khas bagi membantu pihak berwajib seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Jabatan Pertahanan Awam (JPA) Selangor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) ketika bencana melanda kawasan berkenaan.
Namun begitu, jumlah ahli tersebut akan ditambah supaya kumpulan berkenaan dapat beroperasi secara konsisten setiap kali bencana terjadi di kawasan terbabit.
“Skuad Bencana merupakan inisiatif baharu iaitu ada kumpulan khas dengan kelengkapan dan kemudahan untuk berdepan dengan situasi yang berlaku di Shah Alam baru-baru ini.
“Pasukan ini ditubuhkan secara sukarela, dan bila ada kes-kes melibatkan bencana alam, mereka akan datang membantu pasukan autoriti sedia ada seperti bomba, unit JPA mahupun PBT sedia ada seperti Skuad Pantas.
“Setakat ini kita ada tujuh orang ahli di DUN Gombak Setia, tapi kita akan latih empat atau lima orang supaya kita ada kumpulan yang konsisten untuk membantu ketika bencana tiba khususnya di kawasan DUN di sini dan Parlimen,” katanya pada sidang media Majlis Serahan Sumbangan, Pelancaran Skuad Bencana Dan Penyerahan Bakul Makanan Sime Darby Property di Dewan Beringin Taman Seri Gombak, di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, inisiatif tersebut wajar diwujudkan di DUN lain bagi membantu lebih ramai pihak dan bersedia untuk sebarang kemungkinan bencana yang bakal melanda.
Ujarnya, langkah ini tidak sukar untuk dilaksanakan kerana ia bersifat sukarela dan tidak melibatkan kos yang tinggi.
“Apa yang penting, kumpulan ini perlu dilatih dan dibentuk untuk latihan. Kita ada juga seperti badan sukarelawan Selangor Volunteer (SERVE) dan Team Selangor.
“Masing-masing ada tugas mereka, namun di peringkat kerajaan negeri kita perlu pastikan bagaimana kita ingin menjalankan latihan yang bertepatan dengan kehendak dan keperluan kumpulan ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!