JBPM Pahang siasat menyeluruh punca kebakaran
BENTONG - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang menyiasat secara menyeluruh kes kebakaran di Kampung Baru Karak di sini, pada Jumaat.
Pengarah JBPM Pahang, Ir Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, siasatan yang turut membabitkan Unit Anjing Pengesan JBPM itu meneliti semua aspek berhubung punca kebakaran tersebut.
"Kami akan siasat semua kemungkinan termasuk sistem pendawaian di kawasan terbabit kerana difahamkan kebanyakannya sudah berusia lebih 30 atau 40 tahun.
"Ia termasuk kemungkinan berlaku litar pintas di sebuah premis yang sudah lama tidak beroperasi. Kami tidak menolak kemungkinan sistem pendawaian yang sudah uzur antara punca mencetuskan kebakaran berkenaan. Pasukan forensik sudah memulakan siasatan dan kami guna khidmat unit anjing bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini pada Sabtu.
Beliau ditemui selepas lawatan Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Rahim Muda bersama Pegawai Daerah, Datuk Mohd Zulkifli Hashim dan Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar di lokasi kejadian.
Wan Mohammad Zaidi berkata, Unit Forensik juga menyiasat dakwaan segelintir penduduk kononnya terdapat premis kosong di situ dijadikan tempat simpanan mercun dan bunga api yang mengakibatkan kebakaran merebak dengan cepat.
Sementara itu, Abd Rahim berkata, perbincangan akan diadakan bersama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail untuk memutuskan jenis bantuan yang boleh disalurkan kepada semua mangsa kebakaran tersebut.
"Mungkin ada sedikit bantuan kewangan diberikan kepada mereka tapi bergantung kepada hasil perbincangan dan keputusan oleh Menteri Besar. Saya datang sebagai mewakili beliau untuk melihat dan mengenalpasti bantuan yang diperlukan oleh semua mangsa.
"Buat masa ini, bantuan awal berbentuk barangan keperluan asas sudah diagihkan kepada mereka melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pusat kawalan operasi bencana (PKOB) daerah Bentong," katanya.
Selain itu, pihaknya memandang serius masalah tekanan air rendah yang didakwa menyukarkan operasi pemadaman.
"Saya meminta pejabat tanah, majlis perbandaran dan bomba mengenal pasti kawasan yang se berlaku tekanan air rendah. Selain itu Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) akan melakukan pemeriksaan berkala dan lebih kerap," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!