TNB belanja RM426 juta biaya pendidikan, dermasiswa MyBF
SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi Yayasan Tenaga Nasional (YTN) membelanjakan RM426 juta dalam tempoh peraturan (RP) sejak 2018 hingga Julai 2021 untuk pembiayaan pendidikan dan dermasiswa My Brighter Future (MyBF).
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, jumlah yang diterima oleh setiap pelajar tersebut sangat besar dan perlu dimanfaatkan sepenuhnya.
“Langkah TNB yang sentiasa bersama rakyat adalah satu usaha murni dan manifestasi hubungan bermakna rakyat bersama TNB,” katanya dalam satu hantaran pada Sabtu.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Penganugerahan Biasiswa YTN bagi tahun 2021 di ILSAS, Bangi, Selangor.
Mengulas lanjut, jelas beliau, daripada 8,000 permohonan yang diterima, hanya 93 daripadanya berjaya menerima tawaran biasiswa tersebut.
Katanya, daripada jumlah itu, 20 pelajar ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara manakala selebihnya di universiti tempatan.
Takiyuddin berharap peluang yang diberikan tidak disia-siakan oleh semua penerima biasiswa YTN bagi mencipta kejayaan untuk masa depan dan seluruh keluarga.
“Semoga terus tekun dan bersungguh-sungguh semasa berada di kampus untuk mencapai kecemerlangan dalam ilmu serta bidang yang diceburi.
“Syabas diucapkan buat semua pelajar yang berjaya serta ibu bapa atas kejayaan anak-anak semua.
“Menduduki peperiksaan besar seumpama Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2020 sama sekali tidak seperti calon-calon SPM sebelumnya.
“Ketika dunia sedang berdepan pandemik Covid-19 yang amat mencabar, Alhamdulillah berkat usaha anak-anak dan para guru seiring dengan doa ibu bapa, kejayaan cemerlang mengiringi penat jerih yang ditabur,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!