'Tinggal BN, perkara yang merugikan'
A
A
A
Penganalisis politik Universiti Malaya, Prof Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, ini kerana jika dilihat kepada pilihanraya lalu, kemenangan MIC dan MCA di beberapa kerusi adalah atas sokongan pengundi Melayu di kawasan tersebut.
"Jika MIC dan MCA meneruskan hasrat mereka itu, saya percaya BN atau PH akan memenangi kerusi-kerusi tersebut pada pilihanraya akan datang.
"Katakanlah apabila mereka membuat keputusan keluar daripada BN untuk bersama pakatan baharu, muncul pula parti-parti yang lebih muda dan segar yang mewakili etnik India dan Cina menyertai BN, ini sudah tentu lebih merugikan dan menyukarkan kedua-dua parti itu," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Kelmarin, menerusi satu kenyataan bersama, MIC dan MCA mengumumkan sedang mempertimbangkan untuk meninggalkan BN dan meninjau pakatan politik lain selepas asas kesepakatan dalam BN sudah tiada lagi.
Menurutnya, kedua-dua parti tersebut akan meneroka satu pakatan baharu selepas mendakwa UMNO membisu berhubung kenyataan perkauman parti itu, termasuk daripada Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz.
Sementara itu, Awang Azman juga turut menyifatkan hasrat kedua-dua parti tersebut sebagai tindakan terburu-buru tanpa melihat jangka masa yang lebih panjang.
"Persoalannya, parti mana yang akan sertai mereka dalam pakatan politik baharu itu, mereka sendiri belum pasti. Sudah tentu bukan DAP atau PKR kerana masing-masing sudah ada pakatan sendiri melainkan bersama parti yang lebih kecil namun ia tidak akan memberi impak yang besar.
"Jadi situasi ini sebenarnya hanya mempercepatkan jangka hayat politik mereka (MIC dan MCA)," katanya.
Sementara itu, beliau turut berkata, MIC dan MCA sepatutnya lebih memahami kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan pemimpin UMNO yang didakwa berbaur perkauman itu hanyalah digunakan untuk berkempen.
"Sepatutnya MIC dan MCA faham dengan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin UMNO tersebut yang lazimnya digunakan untuk berkempen. Kalau kita lihat, kenyataan seperti itu bukanlah perkara baharu, tetapi kenapa tiba-tiba sekarang mereka terasa, adakah kerana BN bukan lagi parti pemerintah.
"Ketika BN menjadi kerajaan, apa sahaja kata UMNO, mereka tidak ambil tahu asalkan kedudukan politik mereka sebagai menteri atau timbalan itu terpelihara, ini yang menjadi persoalan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!