Nor Hasrul antara pensyarah muda UTM
JOHOR BAHRU - "Sebenarnya saya tidak pernah terfikir jadi pensyarah kerana pada asalnya saya mahu jadi jurutera," cerita Dr Nor Hasrul Akhmal Ngadiman, 29.
Menariknya, Nor Hasrul Akhmal berjaya menjadi pensyarah kanan di Sekolah Kejuruteraan Mekanikal Fakulti Kejuruteraan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada usia 26 tahun dan kini antara pensyarah muda di institusi pengajian tinggi (IPT) berkenaan.
Menurutnya, laluan kerjayanya mungkin lebih awal apabila dia berjaya lulus Peperiksaan Tahap Satu (PTS) ketika di tahun tiga dan berjaya naik ke tahun lima tanpa perlu belajar di tahun empat seperti kebanyakan murid lain.
"Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2006, saya diterima melanjutkan pelajaran ke Matrikulasi Johor sebelum ditawarkan menyambung pengajian peringkat ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Industri) di UTM.
"Alhamdulillah, selepas tamat ijazah Sarjana Muda, saya ditawarkan UTM melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di bawah program PhD Fast Track UTM.
"Semasa dalam program itu, saya terpilih ke Korea selama enam bulan dan syukur tamat pengajian pada 2016 sebelum kemudian ditawarkan menjadi pensyarah kanan di UTM. Saya kira tawaran tersebut merupakan rezeki dan perlu diambil untuk uji kemampuan diri," katanya kepada Sinar Harian.
Mengajar pelajar lebih berusia
Anak bongsu daripada lima beradik ini turut mengakui berdepan pelbagai cabaran apatah lagi perlu mengajar pelajar lebih berusia dari umur sendiri.
"Bagaimanapun, semua pelajar saya hormati saya. Kalau lebih berusia, kebanyakannya memiliki banyak pengalaman dalam bidang industri. Jadi, dari situ saya suka berkongsi pendapat dengan mereka.
"Kalau bersama pelajar lebih muda, saya turut anggap seperti kawan-kawan supaya tidak mereka tidak rasa janggal untuk bertanya di dalam atau di luar kelas," katanya yang berasal dari Kota Tinggi.
Minat aktiviti sukarela
Sejak di bangku sekolah lagi, anak kepada pesara tentera, Ngadiman Mahad, 67, dan suri rumah, Saodah Baok, 63, minat aktiviti kesukarelawan dan aktif berpersatuan selain kerap dipilih menjawat pelbagai jawatan penting yang sekali gus mendedahkan bakat kepimpinan.
"Ketika belajar di UTM, saya pernah memegang jawatan Naib Presiden Majlis Perwakilan Pelajar 2011/2012 selain Presiden Anak Johor UTM pada 2010.
"Dari situ, pelbagai aktiviti kemasyarakatan telah saya anjur dan ikuti yang semakin lama menambah minat saya serta dianggap seperti hobi untuk mengisi masa.
"Malah, aktiviti kesukarelawan saya masih diteruskan hingga kini. Saya kini merupakan Pengerusi Gerak Remaja 4B Johor, Pengerusi Sukarelawan Anak Muda Tenggara dan Ketua Belia Taman Kota Jaya," katanya.
Sungguhpun sibuk dengan tuntutan kerjaya serta keluarga, ia tidak menghalang Nor Hasrul Akhmal berbakti kepada masyarakat, malah beliau semakin bersemangat apabila dapat membantu golongan memerlukan.
"Pada saya semua aktiviti bersama masyarakat tidak menjadi halangan kerana saya percaya ALLAH akan sentiasa bantu kita. Apabila sudah minat, tidak timbul perasaan penat.
"Malah, saya jadi lebih bersemangat dan gembira apabila melihat senyuman mereka dalam kalangan memerlukan dibantu.
"Antara aktiviti yang dianjurkan termasuklah program motivasi bersama pelajar yang mana saya masukkan elemen sains dan teknologi, servis motosikal, gunting rambut percuma, sumbangan kepada ibu tunggal serta golongan memerlukan dan sebagainya," ujarnya yang memiliki seorang anak lelaki berusia lapan bulan, Salahuddin Yusuf, hasil perkongsian hidupnya dengan Siti Ruqayyah Abd Razak, 28.
Beliau turut menasihatkan kepada generasi muda supaya berlumba dalam hidup ini kerana persaingan itu bukan orang lain, tetapi daripada diri sendiri.
"Kita perlu menjadi lebih baik dari semalam dan jangan berhenti ketika rasa penat. Teruslah bekerja keras dalam diam dan biarlah kejayaan membuktikan kemampuan kita," katanya yang kini menjadi penyelia bersama untuk tiga pelajar PhD dan empat pelajar Sarjana di fakultinya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!