Pemegang pas kerja, pas belajar lengkap divaksin boleh masuk Singapura

Republik itu juga akan membuka semula permohonan kelulusan kemasukan untuk Pembantu Rumah Migran (MDW), pemegang S Pass dan permit izin kerja dari sektor Pembinaan, Marin dan Proses (CMP), dari negara atau wilayah berisiko tinggi, kategori III dan IV untuk memasuki Singapura. - Foto fail ST
Republik itu juga akan membuka semula permohonan kelulusan kemasukan untuk Pembantu Rumah Migran (MDW), pemegang S Pass dan permit izin kerja dari sektor Pembinaan, Marin dan Proses (CMP), dari negara atau wilayah berisiko tinggi, kategori III dan IV untuk memasuki Singapura. - Foto fail ST
A
A
A

SINGAPURA - Singapura bakal mewajibkan semua pemegang pas kerja dan pas pelajar lengkap vaksin Covid-19 sebelum tiba di republik ini, bermula 1 November 2021, menurut Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian (MTF).

Pasukan petugas mengenai Covid-19 itu memaklumkan langkah berkenaan bagi membolehkan pekerja dan pelajar memasuki sempadan Singapura dengan selamat sambil meminimumkan risiko kesihatan awam.

Pengarah perkhidmatan perubatan Singapura, Kenneth Mak berkata, pada masa ini Singapura mengiktiraf individu yang lengkap divaksin dengan vaksin yang tersenarai dalam senarai penggunaan kecemasan (EUL) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Selain itu, ia termasuk vaksin yang kami iktiraf di Singapura,” katanya pada sidang media maya MTF pada Sabtu.

Keperluan vaksinasi merangkumi tanggungan pemegang pas kerja dan pemegang pas kerja “in-principle approval” dengan sejarah perjalanan ke negara atau wilayah berisiko di bawah Kategori I dan II.

Bagaimanapun, langkah itu tidak tertakluk kepada mereka yang mendaftar di bawah Periodic Commuting Arrangement (PCA).

Ia hanya membabitkan mereka yang ingin memasuki Singapura melalui Work Pass Holder General Lane dan Student' Pass Holder Lane.

Menurut MTF, republik itu juga akan membuka semula permohonan kelulusan kemasukan untuk Pembantu Rumah Migran (MDW), pemegang S Pass dan permit izin kerja dari sektor Pembinaan, Marin dan Proses (CMP), dari negara atau wilayah berisiko tinggi, kategori III dan IV untuk memasuki Singapura.

Artikel Berkaitan:

Malaysia satu daripada negara di bawah kategori IV.

Namun, ia berdasarkan syarat mereka telah lengkap divaksin sebelum ketibaan dan tidak mempunyai sejarah perjalanan ke Bangladesh, India, Myanmar, Nepal, Pakistan dan Sri Lanka.

Kumpulan ini boleh mula mengemukakan permohon mulai 15 Oktober 2021.

Menurut MTF, kelulusan masuk adalah terhad memandangkan keadaan Covid-19 tempatan dan global masih menular dan perlunya untuk meminimumkan risiko kes import.

Tempoh menunggu kira-kira tiga hingga enam bulan sebelum mereka dapat memasuki Singapura.

Untuk pemegang Pas Pelajar, menurut MTF syarat vaksinasi tidak tertakluk kepada mereka yang berumur di bawah 18 tahun semasa ketibaan.

Individu yang tidak divaksin berusia antara 12 dan di bawah 18 tahun dibenarkan masuk ke Singapura tanpa bukti vaksinasi, dengan syarat mereka perlu mendapatkan vaksin Covid-19 yang lengkap dalam masa dua bulan selepas ketibaan.

Pemegang pas yang tidak divaksin atas sebab perubatan pula boleh memohon pengecualian dengan mengemukakan permohonan disertakan surat sokongan doktor. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!