Program JTDL diperhebat sehingga akhir tahun
KUALA LUMPUR - Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) kelolaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan diperbanyakkan di seluruh negara menjelang akhir tahun ini, bagi memastikan usahawan dan petani tempatan kembali ‘bernafas’ selepas berdepan pandemik Covid-19.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA, Abdul Rashid Bahari berkata antara negeri yang akan diberi tumpuan pelaksanaan JTDL adalah Johor, Kelantan dan Negeri Sembilan kerana ia merupakan negeri utama pengeluar produk pertanian.
Menurut beliau, pelaksanaan program itu dicadangkan selepas mengambil kira kecenderungan pengguna yang kembali yakin untuk berbelanja di pasar tani atau di program seperti JTDL, berikutan terdapat pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk membendung penularan Covid-19.
“Kita harap pengguna akan terus menyokong usahawan dan petani kita kerana seperti sudah maklum semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, mereka tidak dapat berniaga, hanya bergiat secara dalam talian.
“Oleh itu jika dibantu menerusi program fizikal seperti ini, perniagaan mereka akan bertambah meriah, sekali gus membolehkan mereka meraih margin keuntungan tinggi manakala pengguna pula dapat membeli produk pertanian pada harga berpatutan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program JTDL di Giant Hypermarket Setapak, di sini pada Sabtu.
Sementara itu, Abdul Rashid berkata, pihaknya terbuka untuk menjadi rakan kongsi pasar raya lain di negara ini dalam menyediakan lebih banyak ruangan pemasaran dan jualan kepada usahawan dan petani tempatan.
“Tujuan program ini untuk beri peluang kepada petani dan usahawan menjual terus produk mereka di pasaran,” katanya ketika ditanya sama ada FAMA mempunyai perancangan untuk memperluaskan kerjasama program JTDL dengan pasar raya lain.
Berhubung program di Giant pada Sabtu, Abdul Rashid berkata, ia merupakan edisi ketiga JTDL pada tahun ini selepas AEON Setiawangsa, Kuala Lumpur dan MyFarm Outlet Putrajaya.
Melalui penyertaan 20 peserta pada edisi kali ini, beliau berkata, FAMA menyasarkan sebanyak RM120,000 nilai jualan dapat diraih menerusi program yang berlangsung selama empat hari bermula 30 September lepas. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!