'Nak cari barang rare, jom ke Walk Flea Market'
SHAH ALAM - Menawarkan pelbagai barangan 'rare' dan 'vintage', itu antara keistimewaan yang terdapat di Walk Flea Market bertempat di Shah Alam Convention Centre.
Dibuka sejak 8 Februari lalu pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula jam 6 petang hingga 12 malam, Walk Flea Market menawarkan pelbagai jualan barangan antik, jualan makanan dari ‘food truck’ yang menyajikan aneka menu tempatan dan antarabangsa.
Pengurus Bangunan Kompleks PKNS Shah Alam, Syahril Mohd Rashid berkata, pihak pengurusan ingin menjadikan SACC Walk dan Kompleks PKNS Shah Alam sebagai salah sebuah lokasi tumpuan pelancong di dalam dan luar negara.
"Walk Flea Market menjanjikan kelainan pengisian yang menarik lebih ramai pengunjung seperti persembahan buskers, jualan barang permainan, koleksi kartun anime, aktiviti bersama badut, pelukis jalanan dan banyak lagi aktiviti menarik yang bakal disediakan.
"Ia merupakan penganjuran dari pengurusan Kompleks PKNS Shah Alam, SACC Mall dan PREC (PKNS Real Estate Sdn Bhd) dengan kerjasama dari Tapak Urban Street Dining dan Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia Negeri Selangor (PERDASAMA Negeri Selangor)," katanya.
Katanya, ia sekali gus memberi peluang kepada orang ramai untuk melakukan aktiviti masa lapang terutama bersama keluarga dan rakan-rakan.
"Selain itu pengunjung dapat mengimbau kembali kenangan lalu yang pernah terukir sejak wujudnya Kompleks PKNS Shah Alam sedari 40 tahun yang lalu kerana ‘Segalanya Bermula Di Sini’ bertepatan dengan cogan kata bangunan ini.
“Kami juga merasakan perlunya ada program-program seperti ini untuk memberikan peluang dan juga sebagai landasan bagi usahawan-usahawan bumiputera yang ingin menjalankan perniagaan mereka secara fizikal dengan modal yang sedikit," katanya.
Menurutnya, ia juga dapat membantu merancakkan ekonomi di Shah Alam dan juga Selangor dengan menarik pengunjung di kalangan penduduk setempat dan juga luar dari kawasan.
"Kompleks PKNS Shah Alam, anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) iaitu PREC (PKNS Real Estate Sdn Bhd) merancang pelbagai perubahan bagi menaik taraf bangunan dari segi infrastruktur, kemudahan prasarana.
"Selain itu, adanya juga percampuran peniaga seperti adanya Boat Noodle, Mahnaz Food, Burger King, Nasi Vanggey dan banyak lagi," katanya.
Dalam pada itu, Pengurus Bangunan SACC Mall, Muhammad Noor Md Yusoff berkata program ini dapat meningkatkan jumlah pengunjung ke pusat beli-belah di bawah kendaliannya.
"Ia juga menjadi tumpuan kepada penduduk di sekitar Shah Alam untuk beriadah selain Family Mart yang dibuka 24 jam sehari mendapat sambutan yang memberangsangkan sekaligus meningkatkan ekonomi Selangor secara tidak langsung.
"Antara projek menaik taraf yang bakal dilakukan seperti pengubahsuaian medan selera di tingkat 4, surau, tandas, dan mengecat bangunan bagi memberikan keselesaan kepada pengguna dan dapat bersaing dengan pusat membeli-belah yang lain," katanya.
Sebarang pertanyaan lebih lanjut dan cadangan mengenai SACC Walk Flea Market di SACC Walk dan SACC Mall, sila hubungi Nashriq (012-629 0992). Bagi pengunjung yang ingin ke SACC Walk Flea Market boleh menggunakan aplikasi “Waze” ke SACC Walk.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!