Pelajar teruja kembali semula ke sekolah

Nurin Zulaikha (dua dari kanan) bersama rakan-rakannya hadir seawal jam 7 pagi di SMK Wakaf Bharu, Tumpat kerana sudah tidak sabar memulakan sesi pengajaran secara bersemuka.
Nurin Zulaikha (dua dari kanan) bersama rakan-rakannya hadir seawal jam 7 pagi di SMK Wakaf Bharu, Tumpat kerana sudah tidak sabar memulakan sesi pengajaran secara bersemuka.
A
A
A

TUMPAT - Keterujaan pelajar Tngkatan Enam Atas kembali ke sekolah dapat dilihat apabila kerajaan membenarkan semula sesi pengajaran secara bersemuka di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Ahad.

Tinjauan Sinar Harian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakaf Bharu, di sini mendapati rata-rata pelajar dilihat gembira sebaik sahaja dibenarkan untuk berbuat demikian.

Rata-rata pelajar yang hadir ke sekolah hari ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat dengan memakai pelitup muka, mengimbas aplikasi Mysejahtera serta memeriksa suhu badan.

Seorang pelajar, Nurin Zulaikha Muhammad, 19, berkata, dia membuat persiapan untuk kembali semula ke sekolah sejak Sabtu bagi mengelakkan situasi panik pada hari pertama.

"Alhamdulillah, saya bangun seawal jam 5.30 pagi bagi mengelak lewat untuk ke sekolah pada hari pertama," katanya.

Menurutnya, saat untuk kembali semula mengikuti pengajian secara bersemuka telah lama diimpikan selepas sekolah terpaksa ditutup pada penghujung April lalu akibat peningkatan kes Covid-19.

Suasana di hadapan sebuah sekolah menengah di Tumpat kembali sibuk selepas kerajaan membenarkan semula sesi pengajaran secara bersemuka di bawah PPN pada Ahad.
Suasana di hadapan sebuah sekolah menengah di Tumpat kembali sibuk selepas kerajaan membenarkan semula sesi pengajaran secara bersemuka di bawah PPN pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Dia yang sudah melengkapkan suntikan dua dos vaksin berharap sesi persekolahan dapat diteruskan seperti biasa dengan pematuhan SOP yang ketat.

Nurin Zulaikha berkata, pembelajaran secara bersemuka membuatkan dia lebih faham berbanding secara dalam talian.

"Kalau tidak faham berkait dengan satu-satu perkara, saya boleh bertanya secara terus kepada guru-guru atau kawan-kawan," katanya.

Sementara itu, Nur Maisarah Muhamad Aidil, 19, berkata, pembukaan semula sekolah ini membolehkannya memberikan tumpuan penuh kepada persiapan untuk mengambil Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Katanya, ruang tempoh yang ada akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menimba seberapa banyak ilmu sebagai persiapan menuju STPM.

"Sebaik sahaja mendapat tahu persekolahan secara bersemuka dapat dilakukan saya menjadi lebih bersemangat untuk belajar.

"Keadaan ini lebih baik kerana saya boleh membuat rujukan secara terus kepada guru-guru," katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati seawal jam 7 pagi para pelajar sudah hadir ke sekolah dan di Kelantan ia merupakan sesi persekolahan bagi pelajar Tingkatan Enam Atas serta Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!