KBS kecam komen perkauman terhadap atlet badminton
IPOH - Kementerian Belia dan Sukan mengecam tindakan seorang pengguna media sosial yang mengeluarkan komen berbaur perkauman ke atas atlet badminton perseorangan wanita negara, S Kisona.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tindakan tersebut langsung tidak mencerminkan sebagai sebuah Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Jelas beliau, atlet berkenaan telah berjuang mengharumkan nama negara dan komen tesebut adalah tindakan kurang bijak sebagai rakyat Malaysia.
"Ada dalam kalangan keluarga Malaysia kita ini umpama setandan pisang.
Ada yang elok, ada yang buruk, ada juga keluarga kita ini yang tak tahu guna bahasa baik.
"Tak kira Keluarga Malaysia kita ini daripada Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun atau Murut, mereka berjuang untuk mengharumkan nama Malaysia.
Jangan kita hina bangsa, kulit, agama sesiapa juga yang telah berjuang mengharumkan negara," katanya kepada pemberita selepas menziarahi sebuah keluarga susah di Kampung Manjoi, di sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas komen berbaur perkauman seorang pengguna media sosial yang tular terhadap Kisona ketika perlawanan Piala Sudirman pada Sabtu.
Mengenai prestasi atlet negara ketika Piala Sudirman yang berakhir di peringkat separuh akhir pada Sabtu, Ahmad Faizal mengakui kagum dengan prestasi ditunjukkan pemain muda negara.
Menurutnya, atlet negara berjaya melepasi sasaran utama ke peringkat suku akhir apabila layak ke pusingan separuh akhir.
"Mereka janji dengan kita untuk ke peringkat suku akhir tetapi berjaya ke separuh akhir sehingga semua tak tidur malam melihat mereka bermain tetapi semalam (Sabtu), mereka tersingkir namun membuat satu persembahan yang dianggap sebagai golden performance.
"Saya kagum melihat persembahan dan semangat kesungguhan mereka.
Seluruh Keluarga Malaysia perlu ambil contoh seperti mereka.
Kadang-kadang kita gagal namun yakin mereka akan bangkit semula dalam Piala Thomas dan Piala Uber nanti," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Faizal berharap pemain badminton negara mampu sampai ke final pada kejohanan Piala Thomas nanti berdasarkan persembahan meyakinkan pada Piala Sudirman itu.
Menurutnya, namun apa juga keputusan, perkara paling penting adalah kesungguhan yang ditunjukkan oleh pemain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!