'Saya kehilangan seorang kawan dan guru'
[DIKEMASKINI] BEKAS Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan pemergian bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Allahyarham Datuk Seri Zolkples Embong pada Ahad sebagai satu kehilangan seorang rakan dan guru yang banyak mengajarnya mengenai dunia sukan.
“Mendapat berita dukacita. DS (Datuk Seri) Zolkples Embong bekas KP (Ketua Pengarah) Majlis Sukan Negara sudah tiada lagi.
“Saya kehilangan seorang kawan dan seorang guru yang banyak mengajar saya tentang dunia sukan.
“Banyak jasanya kepada pembangunan sukan negara termasuk pembangunan sukan berbasikal yang melahirkan ramai jaguh dunia. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Salam takziah buat keluarga dan sahabat terdekat. Al-fatihah!,” kata Shabery di Facebooknya yang memegang jawatan tersebut dari tahun 2009 hingga 2013.
Allahyarham sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah MSN dari April 2007 hingga Disember 2014.
Dalam pada itu, berita pemergian Allahyarham Zolkples turut dikongsi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
“Saya menerima perkhabaran sedih pagi ini, perginya seorang tokoh sukan yang dihormati Datuk Seri Zolkples Embong, bekas Ketua Pengarah MSN.
“Salam takziah buat keluarga Allahyarham. Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat dan kasih sayang-Nya buat arwah serta ditempatkan bersama orang-orang soleh,” kata Reezal Merican di Facebooknya pada Ahad.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut menzahirkan ucapan takziah di atas pemergian Allahyarham Zolkples.
"Innalillahiwainnailaihirojiun. Bekas Ketua Pengarah, Majlis Sukan Negara Malaysia, Datuk Seri Zolkples Embong meninggal dunia pagi ini.
"Semoga rohnya mendapat rahmat dengan anugerah keampunan daripada Allah SWT serta dikurniakan tempat bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah," ujar Ahmad Faizal di laman Facebooknya.
ARTIKEL BERKAITAN:Bekas Ketua Pengarah MSN meninggal dunia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!