Tarik minat belia sertai TVET
PUTRAJAYA - Penganjuran ekspo Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (TVET@KPLB) secara dalam talian (e-Ekspo) mencipta sejarah apabila merekodkan 141,100 capaian jumlah pengunjung dalam tempoh empat hari.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata, angka tersebut memberi makna ramai yang berminat mengetahui mengenai Program TVET@KPLB.
Ekspo TVET yang lazimnya diadakan secara fizikal tahun-tahun sebelum ini, memulakan acara dalam talian sejak tahun lalu berikutan pandemik Covid-19. Tahun ini, KPLB menyasarkan 80,000 pengunjung menyertainya.
Menurut Che Murad, e-Ekspo TVET@KPLB tahun ini membawa kelainan dengan menawarkan empat komponen utama iaitu pameran digital, seminar dan cerita kejayaan, rakaman video kemahiran TVET dan khidmat nasihat interaktif.
“Slot forum dan seminar telah disusun dan dikelompokkan mengikut tema serta topik supaya lebih terangkum, berbanding tahun sebelumnya. Manakala slot webinar diadakan mengikut slot pengisian institusi masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian, pada Khamis.
Sesi khidmat nasihat disediakan melalui dua platform iaitu group Telegram mulai jam 9 pagi hingga 6 petang, manakala sidang video (Lifesize KPLB) bermula jam 11 pagi hingga 12 tengah hari pada setiap hari sepanjang e-Ekspo berlangsung.
Kali ini pengunjung boleh mendapatkan bantuan khidmat nasihat dengan lebih mudah berbanding tahun sebelumnya iaitu hanya melalui talian telefon.
Apa yang menarik, e-Ekspo TVET@KPLB kali ini turut membabitkan penglibatan industri sebagai pempamer.
Tenaga Nasional Berhad (TNB), Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (MARii), Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (Yamaha), Beaubelle Asia Psific Sdn Bhd, KNX Skills Development Centre dan lain-lain syarikat menawarkan produk serta perkhidmatan masing-masing kepada para pengunjung, di samping menawarkan peluang pekerjaan dan program latihan berkaitan TVET.
e-Ekspo itu turut menyajikan pelbagai kandungan mengenai digitalisasi dalam konsep pengajaran dan pembelajaran TVET.
“Sebagai contoh, disediakan slot forum pertama bertajuk GMI memacu transformasi digital dan slot seminar oleh Perda-Tech dengan tajuk ‘Pandemic Covid 19? Let’s Be An IT Specialist’.
“Secara tidak langsung, pengunjung terutamanya pelajar dan belia mendapat gambaran bagaimana transformasi digital ini berlaku dalam aspek latihan kemahiran yang kebanyakan silibusnya 70 peratus secara amali,” jelasnya sambil memberitahu statistik menunjukkan kadar kebolehpasaran graduan TVET mencapai lebih 86 peratus.
Setanding akademik
TVET kini setanding dengan pendidikan akademik yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi kerana program TVET@KPLB yang ditawarkan berdasarkan pasaran dan keperluan industri.
TVET@KPLB menawarkan 518 program yang dibahagikan kepada 15 kluster tersedia di 279 Institusi Pendidikan TVET@KPLB di seluruh negara.
Menurutnya, program TVET sentiasa berkembang seiring dengan kepesatan industri dan kemajuan teknologi.
Perubahan dan perkembangan pesat teknologi pada masa kini dipercepatkan dengan situasi pandemik yang melanda sekali gus memberi kesan besar kepada program TVET.
Jelasnya, perubahan landskap pendidikan disebabkan ledakan teknologi dan perkembangan Revolusi Industri 4.0 (4IR) mendorong KPLB untuk merencanakan pelbagai strategi serta perancangan berterusan dalam mengadaptasi norma baharu bagi mencapai matlamat nasional.
“Kalau keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak baik, jangan ingat masa depan kita kelam kerana TVET mempunyai kelasnya yang tersendiri. Terlalu banyak kemahiran baharu yang boleh diterokai mengikut minat masing-masing.
“Janganlah berasa terpinggir kerana bidang-bidang ini kemungkinan boleh menjadikan seseorang itu sebagai jutawan dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada yang lain pula,” tegasnya.
Selain itu katanya, ramai graduan TVET telah membuktikan bahawa bidang teknikal dan vokasional mampu mengubah kehidupan mereka.
Sebagai contoh, seorang graduan TVET@KPLB berjaya dalam perniagaan perusahaan perabot sehingga jualan mencecah jutaan ringgit.
“Kemahiran dandanan rambut juga boleh mendatangkan pulangan lumayan sehingga RM6,000 sebulan. Jadi, tidak hairanlah kenapa ia menjadi pilihan,” katanya.
Kerajaan sentiasa memberi tumpuan dalam mengarusperdanakan, mentransformasi serta memperkasakan program TVET.
“Ini boleh dilihat melalui sejumlah besar bajet yang diperuntukkan kepada semua kementerian, agensi dan institusi penyedia TVET untuk memperkukuhkan lagi program dalam setiap Rancangan Malaysia.
“Kerajaan sedar bahawa program TVET berupaya menjadi pembolehdaya serta lonjakan untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir sebagai persediaan ke arah sebuah negara maju,” ujarnya.
Program TVET turut diperkasakan lagi dengan penubuhan Majlis TVET Negara (MTVET) pada 18 Disember 2020.
MTVET mempunyai peranan besar dalam menentukan hala tuju TVET serta penyelarasan ekosistemnya secara holistik demi membangunkan modal insan serta tenaga kerja mahir yang memenuhi keperluan industri.
e-Ekspo TVET@KPLB
*518 program ditawarkan untuk penuhi keperluan pasaran kerja kemahiran tinggi
*Melibatkan 279 institusi pendidikan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) atau TVET@KPLB
*141,100 pengunjung sepanjang empat hari
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!