Pemandu maut kemalangan disyaki mabuk
KAJANG - Seorang lelaki dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol maut apabila kereta dipandunya terbabas dalam kejadian di Jalan Saujana Impian di sini pada Ahad.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.15 pagi itu, mangsa berumur 24 tahun dalam perjalanan pulang dari rumah kawannya di Sungai Long menghala ke rumahnya di Taman Kajang Perdana.
"Mangsa yang memandu Perodua Myvi dipercayai gagal mengawal kenderaan yang dipandunya itu sebelum terbabas melanggar pembahagi konkrit di kanan jalan sehingga menyebabkan keretanya terbalik," katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, akibat kemalangan itu, mangsa cedera parah di bahagian kepala.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat," katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa memandu kereta di bawah pengaruhi alkohol berdasarkan bau minuman keras.
Sehubungan itu, katanya, sampel darah akan diambil untuk analisis.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!