MoU kerajaan, PH tidak kurangkan peranan pembangkang
JOHOR BAHRU - Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan tidak akan mengurangkan fungsi pembangkang untuk melakukan proses semak dan imbang di negara ini.
Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, PH akan terus memainkan peranan dan MoU itu bukan satu halangan untuk parti-parti pembangkang dalam gabungan PH untuk terus bersuara.
Menurutnya, PH tidak akan mengambil pendekatan berlembut tetapi sebaliknya akan lebih bersemangat melawan jika wujud ketidakadilan.
"MoU yang ditandatangani PH demi kesejahteraan rakyat khususnya yang sedang terkesan akibat pandemik Covid-19 ketika ini. MoU ini akan terus menaikkan lagi semangat kami untuk melawan perbuatan salah seperti rasuah, penyelewengan dan ketirisan.
"Sebagai pembangkang, PKR dan pastinya rakan komponen dalam PH mesti terus menjalankan tanggungjawab yang telah diberi," katanya ketika berucap dalam Program Jelajah Peduli di Ibu Pejabat PKR Johor, Pusat Perdagangan Danga Utama di sini pada Ahad.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi PKR Johor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu, Jimmy Puah Wee Tse.
Sementara itu dalam sidang akhbar, beliau berkata, pergolakan politik di Melaka yang dilaporkan kerajaan negeri itu bakal tumbang kerana empat ADUN merancang melompat parti, tidak akan mempengaruhi situasi politik di Johor.
Beliau yakin perkara itu tidak akan berlaku walaupun kerusi DUN di Johor antara Perikatan Nasional (PN) dan PH hanya berbeza satu kerusi DUN dan akan tumbang jika seorang ADUN menarik sokongan terhadap PN.
Sementara itu, Syed Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, menerusi program tersebut sejumlah 800 bungkusan bakul makanan diagihkan untuk semua cabang parti tersebut di negeri ini.
"Saya menyeru wakil rakyat bukan sahaja daripada PKR, tetapi juga DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) Johor negeri ini untuk terus menggerakkan inisiatif membantu rakyat.
"Saya juga berharap agar ketika bantuan diberi, jangan bersikap dingin dan sambil lewa sebaliknya paparkan sifat mesra dan ambil tahu akan permasalahan dihadapi mereka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!