KBS cadang wujudkan liga bola sepak kompetitif untuk bakat cilik

Ahmad Faizal melihat keadaan di dalam rumah ketika menziarah keluarga asnaf di Jalan Raja Kampung Manjoi hari ini. Foto Bernama
Ahmad Faizal melihat keadaan di dalam rumah ketika menziarah keluarga asnaf di Jalan Raja Kampung Manjoi hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) bercadang mewujudkan liga bola sepak yang kompetitif dengan memfokus kepada penglibatan bakat-bakat cilik di peringkat akar umbi, kata Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata, perkara itu sedang diperhalusi dan dianggap sebagai usaha melahirkan lebih ramai pelapis berkualiti yang bakal membarisi skuad bola sepak negara pada masa akan datang.

“Kami mahu wujudkan ‘liga cilik’ melibatkan anak-anak yang berusia lima tahun, tujuh tahun dan sembilan tahun umpamanya. Untuk perkasakan liga ini, kami mungkin buat di seluruh negara.

“Bagi saya, jika lebih banyak orang main (bola sepak) mutunya akan meningkat dan mempunyai ramai pelapis yang berkualiti bagi menggantikan pemain sedia ada,” katanya pada sidang media selepas melawat sebuah keluarga yang memerlukan rumah di Manjoi, di sini pada Ahad.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya mungkin menggunakan kaedah sama bagi memperkasakan sukan teras lain yang sememangnya berpotensi mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal berkata, keputusan menambah jumlah pasukan dalam Liga Super kepada 16 berbanding 12 ketika ini tertakluk sepenuhnya di bawah bidang kuasa Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

“Kami tidak mahu mencampuri urusan berkenaan kerana ia bukan bidang kuasa kami. Biarlah pihak MFL menentukan tentang perkara itu dengan sewajarnya,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!