Kemalangan di tempat kerja menurun di NS

 Izani Mohd Zain
Izani Mohd Zain
A
A
A

SEREMBAN – Kadar kemalangan maut di tempat kerja di negeri ini menurun sejak dua tahun lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Negeri, Izani Mohd Zain berkata, berdasarkan statistik tahun lalu, sebanyak lapan kematian di tempat kerja direkodkan berbanding 2017 yang mencatatkan sembilan kes.

Manakala, setakat tempoh Februari ini, tiada sebarang kematian dilaporkan.

“Berdasarkan statistik, sebanyak 12 kecederaan hilang upaya kekal direkodkan berbanding 14 kes pada 2017, manakala bagi kecederaan tidak hilang upaya kekal sebanyak 400 kes berbanding tahun sebelum iaitu 327 kes.

“Bagaimanapun sebanyak 64 kes kecederaan di tempat kerja berlaku dan 80 kes direkodkan untuk penyakit pekerjaan seperti gatal-gatal kulit, pekak akibat kerja di kuari, sakit dada, dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pelancaran Operasi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di tapak bina di Pejabat IJM Land Seremban 2 di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalannya, Ghafar Kaprawi dan Ketua Seksyen Kerja Bina JKKP negeri, Ir Saifuladili Jaafar.

Jelas Izani, sektor pengeluaran dan pembuatan antara penyumbang terbesar kadar kecederaan serta kematian di tempat kerja, diikuti tapak pembinaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kadar kemalangan dan kematian di tapak projek pembinaan di negeri ini terkawal dan hanya satu kes direkodkan pada 2018 berbanding dua kematian pada tahun sebelumnya.

“Kita harap keadaan ini dapat ditambah baik berpandukan garis panduan dikeluarkan jabatan. Kalau boleh kita mahu sifar kematian dan kemalangan di tempat kerja,” katanya.

Izani memberitahu, berdasarkan hasil pelaksanaan operasi tapak bina pada tahun lalu, sebanyak empat pendakwaan dijalankan, manakala 49 kes pertuduhan kesalahan berkaitan industri pembinaan dikeluarkan JKKP.

Katanya, sebanyak RM106,000 kompaun dikenakan terhadap majikan.

Manakala pada tahun ini, sebanyak lapan kompaun dikeluarkan dan satu pendakwaan dalam tindakan penasihat undang-undang JKKP.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!