Ambil iktibar dari negara luar: Muhyiddin
SHAH ALAM - Rakyat diingatkan terus berhati-hati dan kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) walaupun Malaysia ketika ini semakin menghampiri 90 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi hantaran di Facebook miliknya pada Ahad berkata, virus Covid-19 kini berada dalam komuniti.
"Kita perlu mengambil iktibar dari negara-negara yang mempunyai kadar vaksinasi yang tinggi tetapi bilangan kes positif masih terus meningkat.
"Setiap daripada kita harus mengambil langkah yang proaktif dalam melakukan penilaian risiko kendiri.
"Saya yakin kerajaan juga akan mengambil langkah-langkah yang perlu dalam memantau dan mengawal risiko penularan virus ini di sektor-sektor yang dilonggarkan," katanya.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, berkat usaha dan perancangan kerajaan sejak Mei lalu yang begitu agresif meningkatkan kadar vaksinasi secara tidak langsung menyumbang kepada perkembangan positif itu.
"Ingat, semakin ramai yang menerima vaksinasi lengkap, semakin ramai yang terlindung dari dijangkiti dengan teruk oleh virus Covid-19.
"Marilah kita terus berusaha untuk kembali ke ke kehidupan norma baharu dengan yakin dan berani. Semoga segala usaha kita diberkati dan dipermudah untuk kebaikan bersama #KeluargaMalaysia," katanya.
Pada Ahad, data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui portal CovidNow menunjukkan 87.2 peratus populasi dewasa telah menerima suntikan dos lengkap sekali gus menyaksikan kurang tiga peratus lagi untuk mencapai 90 peratus bagi membolehkan pergerakan rentas negeri dibenarkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini dilapor mengumumkan kelonggaran rentas negeri akan dibenarkan apabila negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis dibuat KKM.
Jelasnya, perkara itu diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikan beliau yang juga Ahli Parlimen Bera pada 22 September lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!