Kerjasama PRU15, serah pucuk pimpinan UMNO tentukan

Mahdzir Khalid
Mahdzir Khalid
A
A
A

ALOR SETAR - Pendirian UMNO berhubung persiapan dan kerjasama dengan parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu diserahkan kepada kepimpinan tertinggi UMNO untuk membuat keputusan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perbincangan tersebut juga akan menentukan sama ada parti berkenaan akan bekerjasama dengan parti lain atau sebaliknya pada PRU akan datang.

"Saya ingat (pendirian UMNO) itu dibawa kepada parti untuk perbincangan. Kenyataan itu daripada presiden, biar ada keputusan di peringkat parti sebab perkara ini nak hadapi pilihan raya, biarlah ada keputusan secara konsensus dalam UMNO sendiri.

"UMNO pun ada pendirian. Kalau lawan bercakap nanti makin tegang. Dalam Perhimpunan Agung UMNO juga sudah disebut. Jadi biarlah keadaan ini begitu dulu dan ada kaedahnya (untuk atasinya nanti)," katanya pada sidang akhbar di Alor Setar pada Ahad.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu bahawa mereka bersedia bertembung selepas UMNO membuat keputusan untuk tidak mahu bersama parti itu sebagai gabungan Perikatan Nasional (PN) pada PRU15.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mahdzir berkata, terdapat isu setempat yang membolehkan bekas Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Dr Erwan Mohd Tahir dapat diterima kembali dalam UMNO.

Menurutnya, hanya UMNO Bahagian Putrajaya mempunyai jawapan sebenar kerana mereka lebih mengetahui perkara yang berlaku di kawasan tersebut sebelum ini.

"(Penerimaan semula bekas ahli menyertai UMNO) Itu ikut setempat la, melibatkan isu tempatan. Sebab orang di situ yang tahu apa yang berlaku di tempat itu. kita tidak tahu apa yang bergolak di tempat itu. Macam saya di Bahagian Padang Terap, saya tahu siapa sebelah sana, siapa sebelah sini.

Artikel Berkaitan:

"Macam di sana, Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor lebih mengetahui sebab melibatkan kawasannya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!