Pulau Pinang diminta teliti semula perancangan PSR
GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang disaran meneliti semula perancangan meneruskan pembuatan tiga buah pulau menerusi Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) di negeri ini.
Pengerusi Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (Pemikir), Datuk Dr Muhamad Farid Saad berkata, kerajaan negeri juga perlu berfikir seperti nelayan sepenuh masa yang memperoleh sumber pendapatan daripada hasil laut.
Menurut Muhamad Farid, Pemikir memahami masalah masa depan nelayan jika projek itu diteruskan dan golongan itu turut berpendapat tiada masa depan generasi yang akan datang akibat kesan jangka panjang tambakan laut.
"Jika 10 tahun diambil untuk kerja penambakan laut bermakna mereka terpaksa menanggung kesan jangka panjang yang jauh lebih panjang daripada 10 tahun.
"Pampasan RM20,000 untuk sebuah sampan yang mungkin tinggi di mata kerajaan sebenarnya jauh lebih rendah berbanding kerugian yang terpaksa dialami.
"Bolehkah mereka membeli sebuah sampan tidak lebih 30 kaki panjang, sebuah enjin tidak lebih 150 kuasa kuda, sebuah takal penarik pukat yang berharga sekitar RM80,000 dengan pampasan yang ditawarkan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, kerajaan negeri bertegas akan memfailkan semakan kehakiman ke atas keputusan Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang mengakibatkan pembatalan kelulusan Laporan Impak Alam Sekitar (EIA) bagi PSR.
Exco Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, pada masa sama, kerajaan negeri juga akan memulakan proses mengemukakan semula laporan EIA kepada JAS agar projek yang kritikal bagi pemulihan ekonomi negeri ini pada pasca-Covid-19 dapat diteruskan bagi kemaslahatan rakyat.
Dalam pada itu, Muhamad Farid berkata, jika pulau itu dibina, nelayan perlu keluar jauh dari pantai untuk mencari hasil laut
"Pengiraan serta pembandingan mudah, kalau sekarang dengan hanya RM5 minyak mereka boleh keluar untuk mendapatkan udang yang boleh dijual dengan RM100.
"Jika selepas siap tiga pulau, kalau mereka berbelanja RM100 untuk membeli petrol sekalipun belum tentu dapat RM5 hasil jualan," katanya.
Tambah beliau, dakwaan yang mengatakan kawasan yang ingin ditambak itu tidak mempunyai banyak hasil laut terutama udang adalah cerita yang diada-adakan untuk menguatkan hujah menyokong projek berkenaan.
"Pihak Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sepatutnya mengumpulkan data tepat selama tiga tahun supaya keputusan juga tepat. Adakah ini dilakukan?
"Tanpa data yang tepat, sudah pasti tiada bukti yang dapat mengukuhkan bantahan kerana mustahil untuk nelayan mengumpulkan data melainkan oleh agensi yang bertanggungjawab menjaga khazanah laut dan kebajikan golongan itu," katanya.
Bulan lalu, Lembaga Rayuan JAS mengetepikan kelulusan Ketua Pengarah JAS yang memberi kelulusan EIA untuk PSR.
Keputusan itu dibuat tiga anggota Lembaga Rayuan JAS yang diketuai Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayub dan pakar alam sekitar dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr Mazlin Mokhtar dan Profesor Madya Dr Ramdzani Abdullah (Universiti Putra Malaysia).
Keputusan Lembaga Rayuan JAS itu menyaksikan kelulusan EIA bagi projek berkenaan yang diperoleh pada 25 Jun 2019 terbatal dan tidak lagi sah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!