Saya kehilangan mentor, rakan karib - Ahmad Shapawi

Ahmad Shapawi
Ahmad Shapawi
A
A
A

PEMERGIAN mengejut bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong yang ditemukan meninggal dunia pagi Ahad ternyata meninggalkan kesan mendalam terhadap penggantinya, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Ahmad Shapawi berkata, beliau menganggap Allahyarham bukan sahaja sebagai mentor malah abang dan rakan karib sepanjang mengenali Zolkples sebelum ini.

“Allahyarham Zolkples sering memberikan kami komen dan tunjuk ajar walaupun selepas beliau tidak lagi berkhidmat bersama MSN.

“Pemergian arwah merupakan satu kehilangan besar buat sukan negara kerana beliau banyak menyumbang idea mencetuskan program baharu dan pembangunan latihan atlet sepanjang bersama MSN,” katanya ketika menghadiri solat jenazah arwah di Masjid Jamek Bandar Baru Sri Petaling pada Ahad.

Zolkples, 62, yang tinggal bersendirian ditemukan meninggal dunia di kediamannya di Pandan Indah di sini, pagi Ahad, namun polis mengesahkan tiada unsur jenayah melibatkan kematiannya.

Walaupun terkenal sebagai seorang yang lantang bersuara, Ahmad Shapawi memberitahu, arwah juga sangat mesra dengan pekerjanya dan terbuka dalam menerima sebarang idea khususnya melibatkan sukan.

Katanya, Allahyarham yang berkhidmat sebagai Ketua Pengarah MSN sejak 2007 sehingga 2014 juga meninggalkan legasi kepimpinannya dengan baik terutamanya dari segi pengurusan MSN dan program latihan sukan atlet.

Mengulas mengenai berita pemergian Allahyarham, Ahmad Shapawi berkata, beliau difahamkan arwah mengalami demam pada Jumaat sehinggakan bekas pekerjanya dikatakan menghantar ubat ke kediamannya di Pandan Indah, di sini.

Artikel Berkaitan:

“Mereka juga sempat menonton perlawanan suku akhir Piala Sudirman antara Malaysia dan Indonesia. Komunikasi terakhir menerusi WhatsApp bersama bekas pekerjanya adalah pada jam 12.45 tengah hari Sabtu.

“Arwah pernah menjalani pembedahan pintasan jantung sebelum ini dan berkemungkinan besar mengalami serangan jantung. Selain itu, arwah juga melakukan ujian Covid-19 pada Jumaat lepas dan keputusan adalah negatif,” katanya.

Sementara itu, anak saudara Allahyarham, Fauzi Ghazalli, 26, memberitahu, beliau pergi ke kediaman arwah pagi Ahad bersama polis selepas gagal menghubungi Allahyarham sejak semalam sebelum mendapati arwah terbaring tidak sedarkan diri di ruangan dapur.

Dalam pada itu, Fauzi yang merupakan seorang pegawai bank berkata bapa saudaranya itu merupakan seorang yang sangat menepati masa selain sangat rapat bersama mereka sekeluarga.

Katanya, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya, Dungun, Terengganu selepas solat Isyak malam Ahad.

Allahyarham sebelum itu dikafan dan disembahyangkan di Masjid Jamek Bandar Baru Sri Petaling di sini, sebelum dibawa ke Terengganu untuk dikebumikan kira-kira jam 3.50 petang Ahad.

Hadir sama memberi penghormatan terakhir bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, sahabat handai, kakitangan MSN dan jurulatih sukan.

Zolkples pernah menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia 2010 yang menyaksikan Malaysia merangkul sembilan pingat emas sekali gus merupakan pencapaian terbaik kontinjen negara sepanjang penyertaan pada temasya sukan berkenaan.

Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) pada 2017, yang menyaksikan Malaysia muncul juara keseluruhan pada temasya dwitahunan itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!