Kerajaan Perak rancang garis panduan dana masjid
IPOH - Kerajaan Perak sedang merancang untuk menyediakan garis panduan berkaitan dana masjid bagi memastikan wang yang diterima daripada orang ramai tidak 'diperam'.
Exco Agama, Pendidikan Islam, Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Asmuni Awi berkata, dana masjid yang disumbangkan oleh orang ramai seharusnya digunakan untuk manfaat ahli kariah yang memerlukan.
Katanya, pihak jawatankuasa masjid perlu mengambil maklum tentang ahli kariah masing-masing yang memerlukan bantuan atau keperluan dan bukan hanya memikirkan tentang pentadbiran masjid semata-mata.
"Ada masjid di Perak yang saya mempunyai maklumat tabungnya hampir RM1 juta tidak digunakan. Ada juga masjid yang mempunyai dana RM600,000. Malangnya mereka seronok dengan mempamerkan jumlah duit yang banyak tetapi tak ada aktiviti kemasyarakatan yang dibuat dan kalau adapun pada saya tak cukup.
"Perlu diingat di sekitar masjid yang ada ini akan terdapat juga asnaf-asnaf yang memerlukan bantuan, akan terdapat anak-anak kita yang belajar di luar negara yang hanya mengharapkan sumbangan dan bantuan Baitulmal yang jumlahnya tidak banyak kerana sumber terbatas. Sepatutnya perkara ini diambil kira dan tanggungjawab dipikul bersama oleh masjid-masjid tersebut yang mempunyai kewangan hebat," katanya kepada Sinar Harian ketika menjadi tetamu Sinar Live, di sini, hari ini.
Asmuni berkata, dana masjid itu juga boleh digunakan untuk membantu memberi pinjaman kepada usahawan kecil di dalam kariah masing-masing.
Dalam pada itu, menurutnya, sebahagian dana masjid itu juga boleh dilaburkan dalam kegiatan ekonomi bagi menambah sumber pendapatan masjid sekaligus mereka boleh bergerak tanpa bergantung kepada bantuan kerajaan.
"Usaha-usaha yang dilakukan untuk membantu ahli kariah itu tentunya secara tidak langsung menarik minat ahli kariah untuk ke masjid.
"Malah jika dana tersebut digunakan untuk tujuan yang jelas, lebih ramai orang akan menyumbang kepada masjid. Jadi janganlah risau untuk menyumbang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!