Kemasukan sisa buangan ke Malaysia sentiasa dipantau

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man merangkap Timbalan Presiden PAS (tengah) meninjau pelan Pasaraya Wakaf Ummah pada pelancaran dana fasa dua Pasaraya Wakaf Ummah di Kampung Pak Sabah hari ini.
 Turut hadir Pengerusi Lajnah Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan PAS Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (kiri). - Foto Bernama

A
A
A

DUNGUN - Kerajaan sentiasa memantau setiap aktiviti kemasukan sisa buangan ke Malaysia bagi mengelakkan negara ini menjadi antara pusat longgokan dan pemprosesan sampah dunia.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sekiranya terdapat sisa buangan yang dibawa ke negara ini tidak mematuhi undang-undang, kerajaan tidak teragak-agak menghantar semula bahan itu ke negara asal.

“Kita telah hantar beratus-ratus kontena (sisa buangan) balik ke negara asal kerana melanggar undang-undang negara. Kita tidak mahu Malaysia menjadi tempat pembuangan sampah dunia. Kita tegas dengan pendirian tersebut dan pemantauan sentiasa dibuat melalui pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia di pelabuhan.

“Pemantauan ini termasuklah ke atas e-sisa (sisa elektrik dan elektronik) yang mana kita setakat ini tetap berpendirian untuk tidak membenarkan aktiviti import e-sisa dari luar negara,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Dana Fasa Dua Pasaraya Wakaf Ummah di tapak pasar raya itu di sini pada Ahad.

Ketua Pengarah, Jabatan Alam Sekitar Wan Abdul Latiff Wan Jaffar baru-baru ini dilaporkan berkata, terdapat syarikat tempatan, termasuk yang ditubuhkan bersama pelabur asing, menggunakan kod kastam palsu untuk membawa masuk sisa berjadual ke negara ini.

Beliau berkata, Malaysia kini antara negara yang dijadikan pusat memproses sisa buangan berjadual sebelum jongkong sampah dieksport ke negara lain terutama China. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!