'Saya tidak faham mengapa dikaitkan' - Idris Haron

Idris
Idris
A
A
A

MELAKA - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron yang dikaitkan dengan gerakan untuk menumbangkan kerajaan negeri Melaka, hari ini tampil menafikan pembabitannya.

Idris yang juga bekas Ketua Menteri Melaka berkata, tidak tahu mengapa namanya dikaitkan sedangkan secara peribadi beliau tidak mempunyai masalah dengan kepimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali ketika ini.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa gerakan menumbangkan kerajaan oleh pelbagai pihak, namun menegaskan langkah berkenaan bukan usahanya.

“Saya rasa mungkin ada gerakan daripada pelbagai pihak, tetapi yang pastinya bukan inisiatif saya.

“Saya pun tidak faham mengapa nama saya dikaitkan kerana saya tiada sebarang masalah dengan Ketua Menteri sekarang ini,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Sebelum ini, Idris yang juga Exco Pembangunan Luar Bandar dan Pengurusan Banjir antara empat nama ADUN yang didakwa akan menyertai Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Senario itu sekali gus bakal menyaksikan Kerajaan Negeri Melaka yang sebelum ini pernah dipimpin PH selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, sebelum tumbang, akan kembali bertukar tangan.

Antara nama lain yang dikaitkan termasuk Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas - Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Artikel Berkaitan:

Norhizam yang sebelum ini menang pada PRU lalu atas tiket PH bagaimanapun telah manafikan dakwaan berkenaan manakala dua lagi ADUN masih mendiamkan diri.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan bakal ‘melompat’ parti itu, Idris menegaskan perkara itu tidak berlaku.

“No such thing, tiada lompatan,” tambahnya ringkas.

Sementara itu, satu sumber memberitahu, usaha pihak tertentu mengumpul Akuan Bersumpah (SD) daripada sebilangan ADUN kerajaan untuk mendapatkan sokongan bagi menumbangkan kerajaan negeri tidak berhasil.

Dakwanya, usaha berkenaan menemui jalan buntu apabila ada ADUN yang membuat pusingan-U.

“Memang mulanya ada wakil rakyat kerajaan sudah menandatangani SD untuk bersama PH dan tumbangkan kerajaan negeri ini, namun usaha itu gagal selepas ada antara mereka membatalkannya.

“Bagaimanapun mungkin akan ada perubahan dalam struktur kerajaan negeri sehari dua ini, tetapi kerajaan sedia ada kekal. Tunggu sajalah,” katanya.

Untuk rekod Kerajaan Melaka dipimpin Sulaiman daripada UMNO selepas Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada PH yang tumbang Mac tahun lalu.

Kerajaan negeri mempunyai 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala pembangkang pula 11. - Sumber Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!