Wanita PUI Covid-19 terperangkap ketika lari dari hospital

Anggota bomba yang lengkap memakai peralatan perlindungan diri menjalankan operasi menyelamat menggunakan tangga untuk membawa wanita itu turun.
Anggota bomba yang lengkap memakai peralatan perlindungan diri menjalankan operasi menyelamat menggunakan tangga untuk membawa wanita itu turun.
A
A
A

KOTA KINABALU - Cubaan seorang pesakit dalam siasatan (PUI) Covid-19 yang ingin melarikan diri dari Hospital Keningau gagal selepas dia terperangkap di luar tingkat tiga hospital itu pada pagi Ahad.

Insiden pada kira-kira 6 pagi itu menyaksikan wanita berumur 24 tahun tersebut kemudian diselamatkan oleh sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau yang bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

Ketua BBP Keningau, Sharudy Delamin berkata, wanita itu dimasukkan ke hospital sejak Sabtu sebagai PUI dan pihaknya menerima panggilan berhubung insiden tersebut pada 6.19 pagi sebelum tujuh anggota yang bertugas dikerah ke lokasi kejadian bersama jentera dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan.

“Wanita itu (cuba melarikan diri) dengan keluar dari tingkap di tingkat tiga dan kemudian berjalan di tepian tingkap sehingga ke hujung bangunan.

“Bagaimanapun, dia menemui jalan buntu apabila tiada laluan yang membolehkannya melarikan diri,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Ahad.

Beliau berkata, anggota bomba yang lengkap memakai peralatan perlindungan diri sebelum menjalankan operasi menyelamat menggunakan tangga untuk membawa wanita itu turun.

Katanya, operasi menyelamat selesai pada 7.39 pagi. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!