Ismail Sabri harap semua blok pembangkang tandatangan MoU

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabari Yaakob berharap agar memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani sebelum ini bersama Pakatan Harapan (PH) boleh melibatkan kesemua pihak pembangkang. - Foto fail Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabari Yaakob berharap agar memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani sebelum ini bersama Pakatan Harapan (PH) boleh melibatkan kesemua pihak pembangkang. - Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabari Yaakob berharap agar memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani sebelum ini bersama Pakatan Harapan (PH) boleh melibatkan kesemua pihak pembangkang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia kerana banyak perubahan dilihat oleh beliau sejak MoU tersebut ditandatangani termasuk suhu politik negara kembali reda dengan semua pihak tertumpu kepada usaha untuk memulihkan negara.

Katanya selain itu, sesi perbahasan antara ahli Parlimen juga sangat profesional dan tidak lagi seperti dahulu.

"Saya berpuas hati kalau saya tengok keadaan tenang di Parlimen, secara profesional, tidak ada banyak gangguan, jerit-menjerit seperti dahulu lagi.

"Keadaan tenang. Kita saling menghormati antara satu sama lain. Saya sudah beritahu pembangkang, kerajaan perlukan pembangkang sebagai semak dan imbang atau 'check and balance' kepada apa yang dilaksanakan kerajaan. Itu juga perlu.

"Kalau kita lihat bukan sahaja tenang di Parlimen, tetapi juga tenang di luar. Jadi ini, objektif kita tandatangani itu supaya tidak ada lagi terlalu banyak 'politiking', pertelagahan, akhirnya membolehkan kerajaan menumpukan sepenuh tenaga kita, untuk negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program wawancara khas Eksklusif Bersama Perdana Menteri, yang disiarkan di Astro Awani, TV3, dan RTM pada Ahad.

Mengulas lanjut berkaitan MoU tersebut Ismail Sabri berkata, perbincangan bersama pihak pembangkang yang lain kini sedang dijalankan bagi mencapai matlamat tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Mungkin mereka belum tandatangani, ada lagi individu dan parti. Tetapi perbincangan sedang berjalan. Dalam kalangan mereka ada yang sudah bersetuju.

"Sasaran saya semua parti pembangkang menandatangani. Inklusiviti bukan setakat kaum, agama dan sebagainya, tapi dari segi fahaman politik,”katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!