'Rakyat yang tentukan KPI saya'- Ismail Sabri
KUALA LUMPUR - “Tidak ada sesiapa kecuali rakyat yang tentukan KPI (Indeks Prestasi Utama) saya,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Biarpun begitu, Ismail Sabri berkata, beliau menyedari harapan tinggi yang dizahirkan rakyat terhadap kerajaan dan dirinya, terutamanya dalam meningkatkan kesejahteraan hidup mereka yang terjejas akibat krisis ekonomi dan kesihatan, susulan pandemik Covid-19 di negara ini.
“Pertama, rakyat ingin melihat isu Covid-19 diselesaikan. Kedua, rakyat mahu lihat ekonomi dipulihkan (segera), supaya mereka dapat jalani kehidupan lebih baik berbanding ketika pandemik melanda negara ini.
“Apa yang saya mahu lihat, adalah penyatuan rakyat Malaysia ini. Seperti yang saya katakan, kita perlu hidup sebagai satu keluarga, lupakan perbezaan agama, kaum, malah fahaman politik perlu diketepikan,” katanya lagi.
Perdana Menteri berkata, dengan mengenepikan perbezaan, rakyat akhirnya dapat bersama-sama, berganding bahu untuk membangunkan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi.
Beliau berkata demikian dalam program wawancara khas Eksklusif Bersama Perdana Menteri, yang disiarkan di Astro AWANI, TV3, dan RTM pada Ahad malam. - Sumber Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!