Isteri mengidam bau belacan Tanjung Dawai
KISAH pelakon Shaheizy Sam yang membawa anak dan isterinya Syatilla Melvin pindah ke hotel menjadi topik perbualan di media sosial.
Seperti yang diperkatakan, Syatilla hamil anak ketiga loya melihat rumahnya.
Ramai yang memberikan kata-kata semangat kepada Shaheizy Sam kerana bukan mudah sebenarnya untuk melayan kerenah ibu mengandung.
Ada juga alami alahan seperti Syatilla tetapi disebabkan suami tak mampu maka terpaksa tinggal di rumah mentua.
Tidak kurang juga yang ada alahan bau suami sendiri, bau minyak masak dan macam-macam alahan lagi.
Selain daripada alahan, ibu mengandung juga mengidam sesuatu yang kadangkala sukar dijangka.
Contohnya mengidam mahu makan buah remia, mahu bau duit RM100 pada waktu pagi, suka bau minyak petrol, mengidam durian di luar musim, mahu bercuti di pantai waktu Covid-19 dan macam-macam lagi.
Jika hendak ditulis memang banyak sebenarnya kisah mengidam atau alahan, namun apa yang menarik perhatian Merak Jalanan ialah kisah seorang sahabat yang memenuhi permintaan isteri yang mahu bau belacan Tanjung Dawai.
Kata sahabat yang mesra dipanggil Awang, setiap permintaan isteri akan cuba ditunaikannya kerana itu adalah tanda penghargaan terhadap isteri yang bersusah payah mengandungkan anak mereka.
Oleh kerana permintaan itu perlu dipenuhi, Awang pun membuat pesanan belacan seperti yang diminta.
Kata Awang, permintaan itu agak mencabar kerana dua pesanan belacan yang tiba di rumah tidak seperti dimahukan isterinya. Nasib baik pesanan ketiga memenuhi kriteria yang diinginkan.
Bagi Awang, ketiga-tiga belacan itu baunya sama sahaja tetapi apakan daya, kehendak isteri perlu dipenuhi juga.
Dalam keghairahan Awang bercerita, dia masih bersyukur kerana isterinya tidak mengidam sesuatu yang di luar kemampuannya seperti mahu makan telur haruan jantan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!