Kehilangan besar buat arena sukan takraw
GABUNGAN Sepaktakraw Kelantan (GASTAK) menyifatkan pemergian bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) yang juga Naib Presiden GASTAK, Allahyarham Datuk Seri Zolkples Embong yang ditemui meninggal dunia di kediamannya di Pandan Indah, di sini pagi Ahad satu kehilangan besar kepada badan induk tersebut.
Malah menurut Presiden GASTAK, Zuraidin Abdullah, badan induk itu dan Allahyarham sebelum ini telah merencana pelbagai program pembangunan untuk memajukan sepak takraw di peringkat akar umbi di Kelantan.
“Arwah sebenarnya seorang yang berjiwa sejati dalam sukan sepak takraw selain cukup berpengalaman mengurus tadbir sesebuah organisasi sukan, jadi
saya mempelawa Allahyarham menyertai GASTAK kerana yakin pengalamannya sebagai bekas Ketua Pengarah MSN dapat bantu memajukan pembangunan sepak takraw negeri ini.
“Kami bersama berhasrat menjadikan GASTAK sebagai model sistem pembangunan akar umbi yang lebih tersusun bermula dari peringkat sekolah rendah, menengah di negeri Kelantan, untuk dicontohi persatuan sepak takraw lain di negara ini.
“Dengan pembangunan peringkat akar umbi yang tersusun akan membolehkan lebih banyak pemain-pemain pelapis dilahirkan tidak hanya untuk skuad Kelantan tetapi juga untuk skuad kebangsaan,” ujar Zuraidin kepada Sukan Sinar pada Ahad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!