Masih ada ibu bapa risau, namun yakin kepada pihak sekolah
KUALA TERENGGANU - Hari pertama sesi persekolahan secara bersemuka bagi sekolah di negeri kumpulan A bermula pada Ahad menyaksikan perasaan ibu bapa bercampur baur memandangkan kes penularan Covid-19 di negara ini masih berlaku.
Perasaan gembira dan khuatir silih berganti dirasai pelajar, guru dan ibu bapa tetapi dengan kes Covid-19 yang semakin terkawal sekarang ini pembukaan semula sekolah secara bersemuka diyakini berjalan lancar berpandukan prosedur operasi standard (SOP) ketat ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sekaligus meredakan sedikit perasaan ibu bapa.
Tinjauan Sinar Harian di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Ikan, Chendering, di sini, sejak jam 7 pagi mendapati, ibu bapa mula menghantar anak masing-masing dan para guru pula sudah bersiap sedia menunggu di hadapan pintu pagar utama sekolah untuk pemeriksaan suhu selain memastikan murid-murid memakai pelitup muka dengan betul sebelum dibenarkan masuk ke kawasan sekolah.
Bagi mengelak 'kesesakan', hanya murid dibenarkan masuk ke kawasan sekolah, manakala ibu bapa dilarang berkumpul atau menunggu di hadapan pintu pagar utama yang dikawal ketat oleh pengawal keselamatan.
Hafizah Abdul Rahman, 43, berkata, secara jujurnya memang ada sedikit perasaan bimbang terhadap keselamatan anak istimewanya, Muhammad Zaydan Zakaria Annsary, 12, sepanjang berada di sekolah tetapi dia cuba memujuk hati untuk sentiasa berfikir positif dan meletakkan keyakinan penuh kepada pihak sekolah.
Anak keempat daripada lima beradik itu mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) disediakan di sekolah berkenaan di bawah masalah pembelajaran.
"Saya tengok dia sangat teruja selepas diberitahu hari ini sekolah akan buka, pagi tadi jam 6.30 pagi dia dah bangun dan bersiap nak ke sekolah.
"Hari ini merupakan hari pertama dia ke sekolah sebab kami baru berpindah ke sini. Sebelum ini kami tinggal di Bandar Seri Putra Bangi, Kajang, Selangor," katanya ketika ditemui Sinar Harian, pada Ahad.
Seorang lagi wakil ibu bapa yang ditemui, Zuriza Efnee Ahmad Zanian,35, berkata, pada mulanya dia merasa ragu-ragu untuk menghantar anaknya, Nurzandra Khairina Elvina Azizul Shahzalan, 6 ke sekolah kerana risaukan situasi semasa, tetapi selepas diberi taklimat oleh pihak sekolah berkaitan SOP sepanjang anak- anak berada di sekolah, dia cekalkan hati membuat keputusan untuk menghantar anaknya.
Sementara itu, guru besar SK Kubang Ikan, Mat Saleh Said berkata, seramai 75 murid berdaftar iaitu 25 murid PPKI dan 50 murid prasekolah di sekolah ini.
"Alhamdulillah, kerjasama ibu bapa amat membanggakan. Setakat hari ini, pihak sekolah hanya menerima tujuh surat yang dihantar ibu bapa daripada murid prasekolah yang memohon menangguhkan untuk menghantar anak-anak mereka dengan alasan masih belum bersedia.
"Semakan lanjut juga mendapati yang memohon penangguhan ini kebanyakannya melibatkan ibu tidak bekerja, mungkin mereka masih boleh mengawal dan memantau anak-anak untuk mengikuti sistem PdPR di rumah," katanya.
Menurut Mat Saleh, bagaimanapun bagi murid yang tidak dihantar ke sekolah, pihaknya akan memastikan sentiasa membekalkan bahan- bahan pembelajaran kepada mereka.
Bagi sekolah rendah di Terengganu yang kini telah memasuki Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN), hanya murid pra sekolah dan murid bekeperluan khas atau MBK di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan PPKI mula bersekolah pada Ahad.
Setelah hampir tiga bulan menjalani sesi pembelajaran Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), pembukaan sekolah secara bersemuka pada Ahad dan Isnin adalah bagi negeri dalam Fasa Dua hingga Empat PPN.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini menetapkan perubahan pengoperasian sekolah mengikut fasa baharu akan bermula dua minggu selepas peralihan fasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!