Pengundi tidak terikat kerangka politik

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Keadaan politik di negara ini yang masih tidak menentu akan menyebabkan pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lagi terikat dengan kerangka politik kepartian sebaliknya lebih kepada politik yang bersifat khidmat dan jasa.

Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berkata, mengambil contoh situasi politik di Melaka, beliau berkata, sekiranya pergolakan terus berlaku, tidak mustahil pengundi akan berubah memilih pemimpin berdasarkan individu dan bukannya parti.

Menurutnya, tidak mustahil juga pengundi mengambil tindakan lebih drastik dengan tidak mengundi pada PRU15 akan datang.

“Situasi di Melaka ini agak pelik sedikit kerana ia datang daripada dalam kerajaan itu sendiri, bila kita dikhabarkan yang nak membentuk kerajaan baharu ini dengan menjatuhkan kerajaan sedia ada adalah orang daripada kerajaan itu sendiri.

“Kalau benda-benda ini berlaku (pergolakan berterusan), maka kita mungkin akan melihat pengundi mengambil tindakan menukar parti kepada pembangkang ataupun kepada pilihan yang tidak berkaitan dengan parti.

“Mungkin dia pilih berdasarkan individu, dia tidak mengundi, dia merosakkan undi maka hasilnya nanti mungkin kita menyaksikan parti-parti politik ini nanti berpecah majoriti dan membentuk gabungan politik lain pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Jelasnya, mungkin MoU yang ditandatangani sebelum ini membabitkan perdamaian di peringkat kerajaan Persekutuan sahaja dan tidak melibatkan negeri.

Jelasnya, situasi ini jika tidak ditangani awal, ia mungkin akan merebak ke negeri-negeri lain seperti Johor dan Kedah.

Artikel Berkaitan:

“Sekarang, saya tidak melihat perkara ini wajar kerana dalam keadaan masa yang tidak memihak untuk semua pihak untuk berpolitik kerana kita memerlukan satu kerajaan yang stabil.

“Seperti mana yang kita faham, mereka adalah ahli politik dan mereka berpolitik dengan memiliki dua matlamat iaitu matlamat kepartian dan matlamat peribadi. Jadi, dua-dua matlamat ini selalunya dinamik mengikut keadaan semasa dan mengikut keputusan mana yang akan memberi manfaat kepada kepentingan diri itu,” ujarnya.

Tambah Mujibu, sepatutnya dalam keadaan sekarang dengan PRU kurang lagi dua tahun, keadaan politik sebegini ternyata membantutkan perencanaan negara dalam membaiki ekonomi dan melawan Covid-19.

“Ahli politik ini perlu berjiwa besar dan yang paling penting kepada semua ahli politik adalah persediaan untuk menghadapi PRU15.

“Rakyat menantikan apa perancangan jangka panjang, jangka pendek untuk akan datang. Cabaran PRU15 pada semua wakil rakyat ini nanti sangat berbeza dan sangat besar dengan generasi yang boleh mengundi serta pengundi yang sudah makin hilang kepercayaan terhadap ahli politik,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!