RM300,000 naik taraf tasik atasi banjir kilat di Puchong
PUCHONG - Projek menaik taraf Tasik Taman Wawasan bagi mengatasi masalah banjir kilat di sekitar Puchong dijangka siap hujung bulan ini, kata Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han.
Beliau memaklumkan, projek yang menelan belanja hampir RM300,000 itu akan berfungsi sebagai kolam takungan air hujan sekali gus mengurangkan risiko berlaku banjir kilat di kawasan Puchong.
"Ia juga akan dapat menyelesaikan masalah kolam takungan yang dipenuhi dengan kelodak, pasir dan rumput air, selain memastikan kolam takungan berfungsi dengan baik serta dapat mengekalkan keindahan kawasan taman rekreasi di kawasan Puchong," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Pada Ahad, Sze Han yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara mengadakan tinjauan untuk melihat sendiri pelaksanaan projek berkenaan melibatkan kerja-kerja pembersihan dan mengorek kolam takungan.
Beliau berkata, itu termasuk membuat saliran inlet (parit tanah) ke kolam takungan dan sebanyak dua unit aerator juga dipasang di dalam kawasan tasik untuk menambah kandungan oksigen dalam air.
Menurutnya, beberapa kawasan di Puchong tidak ditenggelami air termasuk di Puchong Jaya kerana pihak Majlis Bandaraya Subang Jaya melakukan kerja-kerja baik pulih kawasan saliran baru baru ini
"Dengan kerja-kerja pedalaman dan kemudiannya pembinaan akses jalan kenderaan berat bagi tujuan penyelenggaraan, keseluruhan projek ini pula sudah 70 peratus siap dan dijangka dapat berfungsi penghujung Oktober ini," katanya.
Minggu lalu, beberapa kawasan di Lembah Klang terutama di Shah Alam dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat yang melanda daerah itu.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada September, fasa peralihan monsun dijangka bermula pada 24 September sehingga awal November ini menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang telah bermula sejak 19 Mei lalu.
Fasa peralihan ini bakal menyaksikan tiupan angin lemah dari pelbagai arah serta kejadian ribut petir yang membawa keadaan hujan lebat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!