Peruntukan RM125 juta bagi program latihan kemahiran
KUALA LUMPUR - Sebanyak RM125 juta diperuntukkan kerajaan melalui inisiatif Place and Train di bawah Program Janapreneur Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD).
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, inisiatif itu akan membuka peluang kepada 30,000 orang terutama belia lepasan sekolah dan graduan untuk mengikuti program latihan dengan jaminan pekerjaan setelah tamat latihan.
"Kementerian melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) turut memperluaskan Elaun Mencari Pekerjaan kepada bukan pencarum Perkeso terutamanya graduan baharu, lepasan sekolah dan pekerja sektor tidak formal.
"Elaun sekurang-kurangnya RM300 akan diterima apabila mereka mendaftar di bawah platform MyFutureJobs.
"Peruntukan tambahan sebanyak RM300 juta, skop insentif turut diperluaskan oleh Perkeso meliputi pekerjaan sementara dan pekerjaan gig.
"Ia boleh memanfaatkan 60,000 pekerja dan majikan yang menawarkan pekerjaan jangka pendek ataupun platform penyedia perkhidmatan gig yang berdaftar dengan agensi itu," katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) berhubung perancangan kementeriannya dalam memastikan lebih banyak peluang pekerjaan disediakan bagi mengurangkan kadar pengangguran.
Sementara itu, menjawab pertanyaan Abdul Azeez mengenai jumlah penganggur yang dicatatkan pada tahun ini, Saravanan berkata, setakat Julai seramai 778,000 individu didapati menganggur.
Katanya, jumlah itu didapati meningkat sedikit berbanding 768,700 orang pada bulan sebelumnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!