Subsidi upah selamatkan 2.9 juta pekerja, 300,000 syarikat

PSU yang membabitkan peruntukan sebanyak RM18 bilion itu juga berjaya menyelamatkan 300,000 syarikat daripada gulung tikar.
PSU yang membabitkan peruntukan sebanyak RM18 bilion itu juga berjaya menyelamatkan 300,000 syarikat daripada gulung tikar.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia berjaya menyelamatkan 2.9 juta individu daripada kehilangan pekerjaan dalam tempoh pandemik Covid-19 menerusi Program Subsidi Upah (PSU).

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, PSU yang membabitkan peruntukan sebanyak RM18 bilion itu juga berjaya menyelamatkan 300,000 syarikat daripada gulung tikar.

"Apabila orang tanya apa legasi saya sebagai Menteri Sumber Manusia dalam keadaan Covid-19 ini, saya dengan bangganya boleh mengumumkan dengan peruntukan yang tinggi (RM18 bilion), saya telah menyelamatkan atau membela nasib pekerja seramai 2.9 juta orang.

"Dengan sumbangan RM18 bilion negara kita telah menyelamatkan lebih 300,000 syarikat daripada gulung tikar. Ini adalah satu pendekatan (yang baik).

"Cuba Yang Berhormat bayangkan dengan jumlah pengangguran 4.8 peratus atau lebih kurang 700,000 orang ini dan tanpa peruntukan ini (RM18 bilion) mungkin 2.9 juta telah kehilangan kerja.

"Jadi, inilah hasil atau impak yang dapat daripada peruntukan ini," katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu) berhubung impak yang diterima daripada peruntukan berjumlah RM18 bilion untuk PSU itu.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, peruntukan besar berjumlah RM18 bilion itu disalurkan kementeriannya kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) secara berperingkat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama bermula Mac tahun lalu, PSU begitu popular dalam kalangan pekerja dan majikan kerana mendapat permintaan tinggi untuk mendapatkan skim berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!