5 maut insiden tunjuk perasaan di India
NEW DELHI - Sekurang-kurangnya lima orang termasuk dua petani terbunuh dan berbelas yang lain cedera dalam tunjuk perasaan di utara Uttar Pradesh pada Ahad, kata seorang pegawai.
Kejadian itu berlaku di bandar Lakhimpur ketika petani mengadakan tunjuk perasaan membantah tiga undang-undang pertanian menjelang acara yang akan dihadiri Timbalan Ketua Menteri Keshav Prasad Maurya dan Menteri Kesatuan Negeri, Ajay Mishra.
Protes itu menjadi semakin tidak terkawal apabila anak lelaki Menteri Kesatuan, bertindak merempuh penunjuk perasaan dengan keretanya. Petani yang berang kemudian membakar dua kenderaan.
Hakim Daerah Lakhimpur, Arvind Chaurasia, telah mengesahkan kejadian itu.
"Lima orang terbunuh dalam kejadian itu. Dua petani maut dilanggar sebuah kereta,” kata Chaurasia kepada Agensi Anadolu.
Pemimpin Kongres Rahul Gandhi turut mengecam kejadian itu.
"Kami menyokong tunjuk perasaan secara aman itu yang mahu menuntut keadilan," katanya.
Petani dari pelbagai daerah di negara ini, terutama Punjab, Haryana, dan barat Uttar Pradesh, telah mengadakan tunjuk perasaan di sempadan New Delhi sejak November tahun lalu.
Mereka menuntut pemansuhan tiga undang-undang pertanian yang dilaksanakan kerajaan.
Petani bimbang undang-undang itu akan mengakhiri sistem Harga Sokongan Minimum - harga minimum atau jaminan kerajaan membeli tanaman utama tertentu seperti gandum, padi, dan kacang soya daripada mereka.
Namun, kerajaan menyifatkan undang-undang berkenaan sebagai satu langkah pembaharuan yang penting.
Bantahan itu menjadi antara cabaran terbesar Perdana Menteri Narendra Modi sejak berkuasa pada 2014. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!