Warga emas didakwa sembunyi wang RM2.9 juta

Lai Ching Wau (dua dari kanan) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban pada Isnin.
Lai Ching Wau (dua dari kanan) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban pada Isnin.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban pada Isnin atas 172 pertuduhan menyembunyikan wang bukan miliknya berjumlah RM2.9 juta antara tahun 2016 hingga 2020.

Tertuduh, Lai Ching Wau, 63, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Diana Md Razali selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah menyembunyikan wang berjumlah keseluruhan RM2.9 juta yang dimasukkan oleh Syarikat Aerial Mix Sdn Bhd milik penama Lim Ming Shun, 57, ke dalam empat akaun bank berbeza miliknya yang mana tertuduh tidak berhak ke atasnya.

Kesalahan itu dilakukan antara 26 April 2016 hingga 2 Jun 2020 di empat bank berbeza di daerah Seremban.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulfikri Mohd Nasir menawarkan jaminan RM300,000 bagi kesemua pertuduhan.

Tertuduh yang diwakili oleh empat peguam yang diketuai oleh S Karthigesan merayu supaya anak guamnya diberi jumlah jaminan yang munasabah atas alasan tertuduh baru kematian isteri dan kini tidak lagi bekerja.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tertuduh juga memberi kerjasama sepenuhnya dengan polis sepanjang siasatan dilakukan.

Mahkamah menetapkan jaminan RM58,000 dan sebutan semula kes 2 Disember ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!