JKM diarah ambil tindakan kes pusat jagaan dera anak autisme
PUTRAJAYA - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diarah untuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pusat jagaan disyaki membuli dan mendera seorang kanak-kanak autisme yang tular baru-baru ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, tindakan boleh diambil mengikut Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506) kepada pusat jagaan berkenaan.
"Antaranya tindakan lak atau sita seperti di bawah seksyen 16A(1) selain pengendali juga boleh didakwa dan dikompaun seperti yang termaktub dalam Seksyen 21 dan 21A akta sama," katanya.
Menurutnya, tindakan intervensi dari sudut psikososial dan kaunseling akan turut diberikan kepada ibu bapa dan kanak-kanak yang terlibat.
"Ini demi memastikan kebajikan dan kesejahteraan emosi kanak-kanak serta keluarga tidak terjejas," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Jumaat lalu, seorang kanak-kanak lelaki disyaki didera oleh pengasuh di sebuah pusat jagaan di Ampang.
Perkara itu terbongkar selepas bapa kepada kanak-kanak itu memeriksa rakaman litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan setelah menemui kesan lebam pada bahagian bahu sebelah kiri dan di kedua-dua belah mata anaknya.
Pengasuh wanita tersebut telah ditahan polis pada Sabtu.
Dalam pada itu, Rina berkata, KPWKM tidak akan berkompromi terhadap perkara tersebut.
"Sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap kebajikan anak-anak orang kurang upaya (OKU), saya menzahirkan rasa terkilan dan dukacita dengan perbuatan pengendali pusat intervensi berkenaan yang seharusnya lebih peka dan sensitif dengan keperluan anak-anak berkeperluan khas," katanya.
Beliau turut menasihati ibu bapa yang memerlukan perkhidmatan penjagaan agar memilih pusat jagaan yang berdaftar dengan JKM.
"Perkara ini amatlah penting supaya kanak-kanak mendapat pengasuhan dan penjagaan yang berkualiti di pusat jagaan yang berdaftar dan keselamatan kanak-kanak lebih terjamin, di samping memastikan anak-anak mendapat penjagaan daripada pengasuh yang terlatih," katanya.
Ujarnya, maklumat berkaitan pengasuh dan pusat jagaan berdaftar boleh diperoleh di laman rasmi JKM di alamat http://www.jkm.gov.my atau semak di laman http://ezi2care.jkm.gov.my.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!