'Saya minta maaf, tak niat hina mana-mana kaum' - Borhanuddin
PASIR PUTEH - Berikutan tindakan menggunakan perkataan 'keling' di paparan laman sosial, Naib Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pasir Puteh, Borhanuddin Che Rahim tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya kaum India.
Menurutnya, permohonan maaf berkenaan dibuat agar dapat menjernihkan kembali keadaan selepas beliau didakwa memberi komen melibatkan prestasi pemain badminton wanita negara, S Kisona.
Malah, dengan lebih bertanggungjawab lagi, beliau juga bersedia melepaskan jawatan yang dipegang sebagai Naib Ketua Bersatu yang digalas ketika ini bagi menjaga nama baik parti itu.
"Saya tidak berniat langsung untuk mengeluarkan perkataan seperti itu. Bukan niat untuk menghina mana-mana kaum di Malaysia.
"Kita hidup dalam masyarakat majmuk berbilang bangsa, saya menghormati bangsa dan agama lain. Cuma mungkin perkataan 'keling' tersebut tidak sesuai digunakan dalam siaran berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.
Permohonan maaf secara terbuka tersebut telah dibuat melalui satu kenyataan pada Ahad dan sekali gus menarik balik kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini.
Borhanuddin sebelum ini didakwa berkongsi satu komen di laman sosial Facebook miliknya mengenai prestasi S Kisona dengan menulis "BAM kutip india (keling) dlm estat mana la jd pmain utama Malaysia".
Tindakan tersebut mendapat kecaman hebat apabila penggunaan perkataan 'keling' dipertikaikan banyak pihak.
Kisona sebelum itu tewas di tangan pemain Jepun dalam aksi separuh akhir Piala Sudirman di Finland.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!