'Anwar patut tanding di Bagan Datuk'

Subramaniam menunjukkan keratan akhbar Sinar Harian yang melaporkan pelawaan PKR Perak terhadap Anwar untuk bertanding di negeri ini ketika sidang akhbar, di sini pada Isnin.
Subramaniam menunjukkan keratan akhbar Sinar Harian yang melaporkan pelawaan PKR Perak terhadap Anwar untuk bertanding di negeri ini ketika sidang akhbar, di sini pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Perak mencadangkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi Parlimen Bagan Datuk jika benar-benar mahu mencuba nasib di Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Ketua Penerangan Gerakan Perak, V Subramaniam berkata, kerusi itu dilihat amat sesuai untuk Anwar kerana penyandangnya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak sendiri mengakui kawasan Parlimen Bagan Datuk terlalu berat untuk beliau bertanding di situ.

"Jika tanya pada saya kerusi yang sesuai, Anwar perlu lawan di Bagan Datuk, barulah buku bertemu ruas. Sama-sama presiden bertembung tentukan siapa lebih kuat bukannya lawan calon biasa.

"Jadi kita alu-alukan Anwar bertanding di Perak. Membawa masuk 'top gun' seperti Anwar jelas memperlihatkan PKR tidak yakin dengan kekuatan mereka di negeri ini," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Pejabat Biro Perkhidmatan dan Aduan Awam Gerakan Kawasan Buntong, di sini pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar dipelawa bertanding di Perak

Subramaniam berkata, pelawaan untuk Anwar bertanding di Perak sebenarnya sekadar mahu mengukuhkan kedudukan parti itu sahaja, bukan untuk menjaga kepentingan rakyat.

Menurutnya, jika benar PKR kuat di Perak, mereka tidak memerlukan nama besar bertanding di negeri ini tetapi cukup sekadar sokongan rakyat untuk mengundi mereka.

Jelasnya, rakyat perlu melihat situasi itu secara serius agar mereka tidak lagi menjadi mangsa permainan politik untuk kepentingan parti yang dibawa Pakatan Harapan (PH).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Subramaniam turut mencabar Farhash Wafa Salvador untuk bertanding di kerusi Parlimen Tambun menentang Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu seperti yang dihasratkan.

Menurutnya, jika pemimpin PKR itu berpendapat diri calon yang mempunyai nama besar, beliau perlu bertemu dengan Ahmad Faizal di Tambun dan bukan memilih kawasan lain.

Pada 25 September lalu, Farhash Wafa Salvador mendedahkan PKR Perak memberi ruang kepada Presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding pada salah satu kerusi Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Hasrat itu disampaikan sendiri pimpinan PKR negeri bersama ketua-ketua cabang ketika mesyuarat bersama Anwar baru-baru ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!