KPDNHEP terima lebih 9,000 aduan

Alexander Nanta Linggi
Alexander Nanta Linggi
A
A
A

KUALA LUMPUR – Sebanyak 9,323 aduan membabitkan pelbagai kesalahan transaksi secara dalam talian diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sejak Januari hingga September tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sebanyak 8,878 daripada aduan itu diselesaikan sementara 445 lagi masih dalam siasatan.

Menurutnya, kes tidak menerima barang atau perkhidmatan yang ditawarkan mencatatkan aduan tertinggi iaitu 5,700 kes diikuti barang atau perkhidmatan yang diterima tidak seperti ditawarkan (1,631kes) dan harga barang atau perkhidmatan mengelirukan (315 kes).

“Sebanyak 142 aduan lagi membabitkan barang tiruan dalam talian, 30 aduan cetak rompak dalam talian, 16 aduan skim piramid dalam talian dan lain-lain kes sebanyak 1,489 aduan.

“Kita memandang serius semua aduan transaksi atas talian yang dilaporkan dan akan diteliti bagi mengenalpasti sama ada berlaku kesalahan di bawah bidang kuasa yang dinyatakan.

“Pihak kementerian akan mengambil tindakan yang tegas terhadap peniaga atas talian yang melanggar perundangan dan peraturan yang dikuatkuasakan,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Robert Lawson Chuat (GBS-Bentong) berhubung tindakan KPDNHEP ke atas aduan transaksi atas talian.

Dalam pada itu, beliau berkata, KPDNHEP bersedia meminda undang-undang bagi membangunkan peruncitan secara dalam talian.

Artikel Berkaitan:

"Kita sentiasa melihat ruang dan peluang yang ada untuk penambahbaikan. Akta-akta yang ada mungkin sudah tidak cukup untuk membangunkan sektor transaksi dalam talian,"katanya menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) mengenai cadangan untuk penggubalan undang-undang baharu atau membuat pindaan kepada akta sedia.

Dalam pada itu beliau memberitahu Dewan Rakyat, berdasarkan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sebanyak 297,894 perniagaan dalam talian yang aktif direkodkan sehingga 31 Ogos 2021 merupakan entiti yang didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!